KEMENANGAN 4-0 Brighton ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad, disifatkan sebagai kejayaan yang menakjubkan hasil aksi hebat dipamerkan kesebelasan The Sea Gulls.
Hakikat berkenaan diakui pengendali Brighton, Graham Potter yang mengakui tidak pernah terfikir bahawa skuad kendaliannya mampu melakar kemenangan besar ke atas gergasi EPL itu.
"Hari ini merupakan antara hari yang baik. Kami beraksi agak buruk pada awal musim dan kemenangan ini merupakan hadiah kepada penyokong kami.
"Kami seolah-olah ‘berhutang’ dengan mereka (penyokong) dan sebab itulah mengapa kemenangan ke atas United kali ini agak istimewa; apatah lagi ia (kemenangan) dilakar di hadapan penyokong sendiri.
"Apa pun pujian seharusnya diberikan kepada kesebelasan pemain yang dilihat telah beraksi dengan cukup baik di sepanjang perlawanan dengan mengawal bola, memberikan tekanan kepada lawan, bertahan dengan baik selain turut mencipta banyak peluang gol,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Brighton membuka jaringan menerusi Moises Caicedo pada minit ke-15, Marc Cucurella (min-49), Pascal Grob (min-57) dan Leandro Trossard (min-60).
Kemenangan itu menyaksikan Brighton kini berada pada kedudukan kesembilan EPL dengan 47 mata setelah mengharungi 36 perlawanan.
Sementara itu, Potter mengakui cukup gembira dengan prestasi kesemua pemain sepanjang perlawanan itu.
Malah katanya, proses merekrut pemain telah dilaksanakan dengan cukup baik di mana ramai pemain berkaliber berjaya dikenal pasti untuk beraksi bersama pasukan.
"Bagi saya, walaupun nampak remeh, tetapi proses merekrut pemain adalah sebahagian perkara yang perlu dititik beratkan dalam usaha membantu membawa masuk hanya pemain-pemain yang memiliki karakter dan sikap yang betul,”ujarnya.