JOHOR BAHRU - Kerajaan diminta mempertimbangkan pemberian subsidi tunai kepada golongan petani yang kini berdepan isu kenaikan harga baja susulan krisis global yang berlaku di seluruh dunia kini.
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kenaikan harga baja adalah fenomena global yang boleh menyebabkan berlakunya inflasi pertanian sekali gus memberikan kesan kepada kos operasi dan kitaran pengeluaran.
Beliau berkata, pemberian subsidi itu diperlukan bagi membantu mengurangkan bebanan akibat peningkatan pada kos operasi.
"Kerajaan boleh memulakan dengan memperuntukkan sejumlah subsidi tunai sebanyak RM100 kepada setiap petani, misalnya bagi setiap satu tan sayur-sayuran yang dihasilkan sebagai usaha mengurangkan kesan kenaikan besar terhadap kos baja yang kini meningkat daripada RM120 kepada RM200.
"Kenaikan ini dipercayai turut dipengaruhi oleh isu pencerobohan dan ketidakteraman yang berlaku antara Rusia dan Ukraine sejak 24 Februari lalu yang mana Ukraine merupakan antara pengeluar terbesar bagi sumber baja dan tanaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Salahuddin yang juga bekas Menteri Pertanian dan Asas Tani berkata, pemberian subsidi itu juga dilihat perlu bagi menampung keperluan petani ekoran faktor risiko cuaca yang boleh menjejaskan tanaman serta menghapuskan sumber pengeluaran.
"Sekitar Disember 2021 sahaja, kelembapan hujan tinggi yang direkodkan adalah menyamai keseluruhan hujan tahunan pada tahun 2020 sehingga akhirnya menimbulkan ‘dilema’ bagi golongan petani untuk meneruskan kegiatan pertanian sekiranya cuaca tidak menentu.
"Krisis ketidakseimbangan ini seharusnya dijadikan sebagai satu peluang untuk melihat semula kelompongan dan jurang sedia ada bagi memperbaharui rantaian nilai agro bagi melindungi dan menjamin kedaulatan makanan negara.
"Kerajaan harus mengambil langkah untuk menyatakan solusi lebih baik bagi menangani tiga permasalahan melibatkan kenaikan harga baja serta kos operasi, nasib golongan petani dan pengeluar tempatan serta ketidakstabilan jaminan bekalan makanan untuk masa hadapan,” katanya.