Berbilang bangsa meriahkan Majlis Rumah Terbuka PM

Iklan
Orang ramai beratur untuk hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2022 Perdana Menteri di Laman Sari Kompleks Seri Perdana pada Ahad. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 yang diadakan pada Ahad di Seri Perdana disambut dengan penuh meriah.

Bukan hanya umat Islam, malah pelbagai kaum dan latar belakang turut hadir bagi memeriahkan majlis yang dihoskan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Iklan
Iklan

Tidak ketinggalan, warga emas dan kanak-kanak juga kelihatan hadir bersama setelah dua tahun tidak dapat meraikan akibat pandemik Covid-19.

Penjawat awam, Hilary Ho, 43, berkata, dengan kunjungan pelbagai kaum, ia selari dengan frasa Keluarga Malaysia yang digunakan.

Iklan
Hilary

"Ini juga menunjukkan semangat perpaduan yang tinggi yang telah dipupuk sejak dahulu lagi dalam negara kita.

"Saya sudah dua kali datang ke majlis seperti ini. Sememangnya saya gembira sebab tidak tertumpu kepada umat Islam sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Selain itu, penyelia bengkel, Bala Mohan, 60, berkata, suasana rumah terbuka menjadi lebih meriah apabila melibatkan pelbagai bangsa.

Bala

"Saya gembira dapat ke di sini. Jumpa kawan-kawan. Saya gembira tengok suasana negara kita yang berbilang bangsa,” katanya.

Pengunjung lain, suri rumah, Wan Azizah Abdul Aziz, 69, berkata, perjalanan majlis sangat lancar dan tidak menunggu terlalu lama.

"Makanan juga sangat memuaskan. Saya merasakan bahawa acara ini lagi merapatkan hubungan antara kaum,” ujarnya.

Kali terakhir Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri diadakan pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.



Orang ramai menjamu juadah yang disediakan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2022 Perdana Menteri di Laman Sari Kompleks Seri Perdana pada Ahad. - Foto Bernama

Kebiasaannya majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri diadakan pada 1 Syawal, namun tahun ini ia diadakan pada 7 Syawal yang jatuh pada 8 Mei.

Ia selaras dengan keprihatinan Ismail Sabri sendiri yang mahu rakyat memanfaatkan peluang pulang ke kampung meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara sebelum meraikan mereka pada majlis rumah terbuka di Seri Perdana.

Dengan tema ‘Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri’, Ismail Sabri dan anggota jemaah menterinya akan menyantuni dan meraikan para pengunjung yang dianggarkan lebih 70,000 orang dengan latar belakang konsep suasana kampung selain dihidangkan juadah tradisi ala desa.

Majlis dijadualkan berlangsung dari 10 pagi hingga 4 petang dan pelancong asing yang berada di negara ini setelah sempadan negara dibuka semula pada 1 April lepas turut dialu-alukan kehadiran mereka.