Ujian kendiri di farmasi tidak langgar peraturan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Amrahi

SHAH ALAM - Ujian kendiri kesihatan yang disediakan di farmasi komuniti tidak melanggar mana-mana peraturan sedia ada di negara ini kerana ia bukan bersifat diagnosis.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, ujian kendiri itu adalah bersifat ‘penyaringan’ dan pemantauan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Malaysia mempunyai polisi berkaitan penjagaan kesihatan secara promotif dan preventif maka ahli farmasi memainkan peranan bagi menyokong dasar tersebut.

"Rata-rata ahli-ahli komuniti akan datang ke farmasi untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang kesihatan. Inilah peranan yang dimainkan oleh ahli-ahli farmasi komuniti. Adakah ini satu kesalahan?

Iklan

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Persekutuan Farmasi Anatarabangsa (FIP) sendiri telah mengakui peranan ahli-ahli farmasi komuniti ini.

"Maka usahlah dipertikaikan peranan mereka kerana mereka menyumbang kepada rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Sinar Harian pada 7 Mei melaporkan teguran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) terhadap tindakan segelintir ahli farmasi yang didakwa membuka kaunter dan menjadikan premis mereka sebagai tempat bagi orang ramai mendapatkan konsultasi mengenai penyakit yang dihidapi.

Sebelum ini Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah pada Rabu mendedahkan di Facebook beliau bahawa berlaku trend yang membimbangkan apabila segelintir kedai farmasi membuka kaunter dan menjadikan kedai mereka tempat bagi orang ramai mendapatkan konsultasi mengenai penyakit yang dialami.

Mengulas lanjut Amrahi berkata, adalah tidak salah bagi ahli farmasi membantu memantau kesihatan orang ramai kerana ia selaras dengan konsep self-care yang dianjurkan WHO.

Menurutnya, kecelikan kesihatan di kalangan masyarakat perlu ditingkatkan secara menyeluruh.

"Ahli-ahli farmasi sebagai profesional kesihatan mempunyai ilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk berperanan penting dalam menjayakan konsep ini.

"Saya juga menegaskan bahawa petugas-petugas kesihatan perlu berkerjasama antara satu sama lain. Masing-masing ada peranan dan tugas untuk masyarakat.

"Tidak perlu membanding-banding atau merendah-rendahkan mana-mana profesion kesihatan yang lain kerana semua profesion ini adalah mulia selagi ia diamalkan secara profesional dan beretika,” ujarnya.