SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi kuat dan utuh sebagai formula awal untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana gerak kerja pilihan raya melibatkan kerjasama secara berpasukan.
Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia juga merupakan tanggungjawab setiap pimpinan dan anggota parti.
Justeru beliau menegaskan bahawa jangan sesekali memesongkan makna sebenar pemilihan parti itu sebaliknya ia perlu diberi makna segar dan membangkitkan semangat ahli.
"Pemilihan parti ini adalah proses bagi merangkul bakat untuk diangkat dalam saf kepimpinan yang kemudiannya bertanggungjawab menyatupadukan anggota, memperkukuh parti, menyemarakkan kejituan anggota.
"Menggilap idealisma reformasi dalam diri setiap anggota serta merangkul dan mempersiap seluruh pendokong parti untuk mendepani PRU15.
"Pemilihan ini adalah pemilihan dengan semangat kekeluargaan dan secara tertib. Jangan sesekali menjejaskan parti yang telah kita bina hanya kerana sengketa dan perselisihan,” katanya dalam satu kenyataan ketika sambutan hari raya sempena pemilihan parti itu di Keningau, Sabah pada Ahad.
Pada pemilihan PKR kali ini, Saifuddin akan dicabar Rafizi Ramli bagi merebut jawatan timbalan presiden.
Kedua-dua pemimpin itu juga dijadualkan berdebat menerusi program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ secara langsung selama satu jam 30 minit di Studio F, Sinar Harian jam 3 petang pada 11 Mei ini.