MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) akan mendapatkan penjelasan Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) selepas badan induk itu tidak menjemput dalam kalangan ketua kontinjen negara bertanding menyertai pemeriksaan tahap kesiapsediaan Solo untuk menjadi tuan rumah Sukan Para Asean (APG).
Presiden MPM, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharuddin berkata, APSF seharusnya menjemput ketua-ketua kontinjen bagi tujuan pemeriksaan itu dalam usaha memastikan tahap persediaan yang dilakukan penganjur pada ketika ini.
"Kita sebenarnya tidak mahu memanjangkan perkara ini, tetapi mengapa ketua-ketua kontinjen di setiap negara bertanding tidak dijemput untuk turut serta bagi tujuan pemeriksaan berkenaan.
"Ini kerana pada kebiasaannya Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) akan memanggil kesemua ketua kontinjen negara bertanding bagi tujuan pemeriksaan dan melihat tahap persediaan yang dibuat, itulah protokolnya.
"Apa pun, kita akan menghubungi APSF berhubung perkara ini, dijangka esok (Isnin), untuk kita dapat penjelasan lanjut daripada mereka berhubung perkara ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Untuk rekod, APSF ketika ini sedang menjalankan pemeriksaan terhadap kesediaan Solo untuk menjadi tuan rumah temasya edisi ke-11 yang bermula mulai dari 7 hingga 10 Mei ini.
Bagaimanapun difahamkan, APSF tidak menjemput ketua-ketua kontinjen negara-negara terlibat untuk turut sama menyertai pemeriksaan berkenaan.
Solo dipilih sebagai tuan rumah APG kali ini yang dijadualkan berlangsung mulai 30 Julai hingga 6 Ogos depan menggantikan Hanoi yang menarik diri tahun lalu susulan pandemik Covid-19.
Dalam perkembangan sama, Megat Shahriman berkata, pihaknya masih menantikan keputusan penganjur berhubung kos melibatkan kemudahan seperti penginapan, makanan, tempat latihan dan sebagainya sama ada ditanggung kerajaan Indonesia atau diuruskan sendiri negara-negara bertanding.
Malah katanya, tidak ada sebarang dokumen hitam putih berhubung perkara berkenaan yang dikeluarkan penganjur sehingga ke hari ini.
"Kita juga akan bertanyakan mengenai perkara ini kepada APSF, semoga semua perkara jelas sebelum kita umumkan kontinjen negara yang bakal beraksi di APG,” katanya.