Tenggiling Sunda di Sabah dikhuatiri pupus akibat pemburuan haram

Iklan
Tenggiling Sunda di Sabah dikhuatiri mengalami kepupusan disebabkan kegiatan pemburuan haram haiwan. Foto WWF Malaysia

KOTA KINABALU - Tenggiling Sunda di Sabah dikhuatiri mengalami kepupusan disebabkan kegiatan pemburuan haram haiwan mamalia itu, kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga.

Augustine berkata, Sabah menjadi tumpuan sindiket penyeludupan Tenggiling Sunda atau nama saintifiknya Manis Javanica dan pihaknya percaya jumlah populasi haiwan tersebut di negeri itu semakin mengecil walaupun tidak mempunyai data tepat mengenali jumlah mamalia di negeri berkenaan.

Iklan
Iklan

Selain itu, beliau berkata sejak 2019 sehingga kini, terdapat lima kes tangkapan melibatkan kegiatan pemburuan haram tenggiling dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

"Tetapi statistik itu tidak menunjukkan senario sebenar jumlah tangkapan melibatkan tenggiling kerana berdasarkan kepada hasil penyelidikan hanya 30 peratus sahaja penjenayah hidupan liar itu yang berjaya ditangkap," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Iklan

Menurut Augustine, tenggiling yang mempunyai habitat di kawasan ladang kelapa sawit, kebun buah atau perkampungan berdekatan dengan hutan sering menjadi buruan kerana ia merupakan sumber protein selain sisiknya yang digunakan dalam perubatan tradisional.

Augustine berkata, sesiapa yang didapati bersalah menjual atau membeli tenggiling, boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun.

Iklan

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti melibatkan tenggiling di Sabah boleh menghubungi JHL sama ada menerusi platfom media sosial, laman web www.wildlife.sabah.gov.my atau di nombor 088-215353 pada waktu pejabat, kata Augustine.

Beliau berkata, Tenggiling Sunda dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 iaitu status perlindungan sama dengan hidupan liar lain seperti orang utan, beruang, Harimau Dahan, Monyet Belanda, penyu dan tembadau.

Populasi Tenggiling Sunda banyak terdapat di Asia Tenggara terutama Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Thailand, Vietnam dan Singapura, menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) tiada data tepat jumlah populasi spesies itu kecuali Singapura yang dianggarkan sebanyak 1,068 ekor.

Selain Tenggiling Sunda, tiga lagi spesies tenggiling yang ditemukan di Asia ialah Tenggiling China (Manis pentadactyla); Tenggiling India (Manis crassicaudata) dan Tenggiling Filipina (Manis culionensis), manakala di Afrika terdapat Tenggiling Gergasi (Smutsia gigantae); Tenggiling Berperut Putih (Phataginus tricuspis); Tenggiling Temminck (Smutsia temminckii) dan Tenggiling Berperut Hitam (Phataginus tetradactyla).

Pada 2008, Tenggiling Sunda diklasifikasikan sebagai haiwan terancam di bawah Senarai Merah Spesies Terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk IUCN, sebelum status itu diubah kepada terancam kritikal pada 2014 berikutan populasinya berkurang 80 peratus dalam tempoh 21 tahun.

Menurut IUCN juga, laporan pada 2010 mendapati lebih 22,000 ekor Tenggiling Sunda terlibat dalam pengeksportan haram di Sabah untuk tempoh 18 bulan antara 2007 hingga 2009, manakala kira-kira 30 tan haiwan itu termasuk yang telah disejuk beku dirampas pihak berkuasa negeri pada Februari 2019. - Bernama