PONTIAN - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tiga pertuduhan meluduh, memecah cermin sisi kereta dan mengaibkan kehormatan di hadapan Masjid Jamek Nur Saadah, Felda Taib Andak, Kulai pada dua Syawal lalu.
Tertuduh, Muhammad Farhan Zainuddin, 24, mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja meludah seorang remaja berusia 18 tahun sehingga mengganggu keamanan remaja berkenaan.
Tertuduh turut didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin sisi kereta Proton X70 milik seorang wanita berusia 50 tahun sehingga mengakibatkan kerugian RM1,644.
Tertuduh juga didakwa mengaibkan kehormatan remaja lelaki berusia 16 tahun dengan mengeluarkan perkataan 'babi'.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di hadapan Masjid Jamek Nur Saadah, Felda Taib Andak, Kulai kira-kira jam 5.50 petang pada 3 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan dengan
masing-masing membawa hukuman denda maksimum RM100 selain dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Harryzan Abdullah.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu agar jaminan itu dikurangkan berikutan tertuduh mempunyai gaji yang rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM4,500 ke atas semua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula di Mahkamah Majistret Kulai pada 25 Mei depan bagi jatuh hukum.