Operasi diaktifkan cari warga emas hilang sejak Sabtu

Iklan
Pasukan bomba menjalankan operasi mengesan lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Segari sejak Sabtu. - Foto ihsan Bomba Perak

LUMUT - Pihak berkuasa mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di pantai Pasir Panjang, Segari di sini sejak Sabtu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mangsa berusia 63 tahun itu disedari hilang selepas kereta jenis Mercedes E280 miliknya dijumpai di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Tiga orang awam memaklumkan ternampak kereta milik bapa mereka di bawah pokok di lokasi terbabit tetapi mangsa tidak dapat dikesan.

"Sejurus menerima laporan itu, SAR dijalankan di pesisir pantai namun, gagal menemui mangsa.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut mendapati tiga telefon bimbit dan beg yang mengandungi dokumen pengenalan diri berada dalam kenderaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, mangsa berasal dari Ipoh sehingga kini gagal ditemui dan kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Iklan

"SAR melibatkan kekuatan 43 anggota daripada Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin Kampung Acheh.

"Operasi turut melibatkan tiga bot dan dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9) daripada pihak polis dan bomba," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Mohd Akmal Hussin berkata, operasi pencarian pagi ini memfokuskan di kawasan darat pada jarak tiga kilometer radius dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

Katanya, operasi turut melibatkan pasukan elit iaitu Unit Must Team, Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan K9 JBPM.