PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola masih percaya Liverpool masih berpeluang untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Bagaimanapun, Guardiola berjanji akan mencuba sehabis baik untuk menghalang impian Liverpool itu dan berharap penyokong The Citizens akan meberi sokongan penuh yang dilihat akan membantu mereka untuk meraih kejuaraan liga.
"Semua orang di negara ini baik media, peminat bola sepak menyokong Liverpool untuk memenangi kejuaraan liga musim ini. Ini kerana Liverpool sebuah kelab yang mempunyai sejarah yang luar biasa di semua kejohanan di Eropah.
"Bagaimanapun saya tidak lihat ia sebagai satu masalah buat kami ketika ini. Apa yang perlu dilakukan kami ketika ini adalah perlu mengutip sembilan mata penuh atau sekarang mungkin enam mata bergantung kepada apa yang akan berlaku dalam dua perlawanan akan selepas ini.
"Jadi perlawanan menentang Wolves nanti ibarat perlawanan akhir untuk kami. Kami akan cuba bertandang ke sana untuk menang kerana nasib kami terletak pada perlawanan tersebut.
"Sekiranya kami gagal pada perlawanan tersebut ia mungkin akan menghalang kami untuk menjuarai liga musim ini. Dengan kelebihan satu mata atau tiga mata, ia tidak membawa sebarang makna,” katanya selepas perlawanan menentang Newcastle United di Stadium Etihad pada Ahad.
Dalam perlawanan tersebut, City berjaya bangkit daripada memori pahit disingkirkan Real Madrid dari saingan Liga Juara-Juara sebelum ini apabila membelasah anak buah Eddie Howe 5-0.
Jaringan City terhasil melalui pemain sayapnya, Raheem Sterling pada minit ke-19 dan ke-93 selain, selain Aymeric Laporte (38'), Rodri (61') dan Phil Foden (90') turut berjaya menyumbat gol pada perlawanan tersebut.