SEREMBAN - Paras empangan air di Negeri Sembilan untuk tempoh terkini masih terkawal.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata setakat tempoh ini semua air dalam empangan di negeri ini terkawal dan mampu menampung jumlah pengunaan penduduk.
Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan supaya berjimat-cermat dan tidak melakukan pembaziran air.
"Setakat ini kita tidak terkesan dengan keadaan cuaca panas yang berlaku sekarang ini, malah paras empangan juga terkawal.
"Apa pun kita telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan dan pengguna dinasihatkan berjimat cermat dengan pengunaan air," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang menyatakan kemungkinan empangan di Negeri Sembilan akan kering disebabkan kekurangan taburan hujan akibat musim panas.
Bagi mendapatkan keterangan lanjut mengenai paras bacaan empangan di negeri ini sehingga Khamis 21 Mac 2019 boleh dirujuk dalam portal SAINS di www.sainswater.com.