Laporan siasat kematian doktor pelatih perlu dikongsi secara terbuka

Iklan
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Dr Shawaludin)

SHAH ALAM - Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) gesa laporan siasatan kes kematian seorang doktor pelatih yang didakwa dibuli semasa bertugas di Hospital Pulau Pinang pada 17 April lalu dikongsikan secara terbuka.

Presidennya, Dr Shawaludin Husin berkata, pelaporan itu perlu dikongsikan kepada orang ramai atau ahli di dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) serta kesihatan awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini supaya ia lebih telus dan tidak berat sebelah demi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem kesihatan negara ini.

"MSOSH menyambut baik pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin agar satu Pasukan Bertindak Bebas ditubuhkan.

Iklan

"Dengan mengambil kira insiden-insiden lalu dapat turun dimasukkan ke dalam penyiasatan dan pelaporan pasukan khas ini.

"Selain itu, MSOSH juga menghargai ketegasan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa budaya buli dalam kalangan doktor pelatih tidak boleh dikompromi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan seorang doktor pelatih yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang, awal bulan lepas dipercayai terjatuh dari bangunan dan meninggal dunia pada 17 April lepas.

KKM juga dilaporkan akan menubuhkan pasukan petugas bebas, bagi menyiasat laporan kematian doktor pelatih itu dan dakwaan budaya buli di kemudahan kerajaan.

Mengulas lanjut, Dr Shawaludin berkata, kes buli doktor pelatih mesti ditangani dengan menyeluruh kerana masih tiada penyelesaian tuntas diketengahkan pihak berwajib.

Katanya, risiko KKP di dalam sektor kesihatan adalah sangat kompleks dan berpunca sekurang-kurangnya daripada dua elemen iaitu keletihan serta budaya kerja buli.

"Seperti yang didakwa pelbagai pihak, di mana doktor atau doktor muda akan menerima tekanan mental yang berupaya menghasilkan Hazard Psikososial di dalam diri doktor dan rakan sekerja. Kedua-dua bahaya ini perlu ditangani secara bersama dan bukan berasingan,” katanya.

Tambah beliau, KKP dicadangkan untuk meneliti semula garis panduan Kempen Kesedaran Pengurusan Kelesuan Kebangsaan yang telah dilancarkan sama ada ia masih boleh berfungsi dengan baik atau perlu wujud lebih banyak penegasan khusus untuk membendung buli di tempat kerja.

"Kempen ini telah dilancarkan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sumber Manusia di mana suatu ikrar Komitmen Pengurusan Kelesuan Di Kalangan Anggota Kesihatan telah ditandatangani kedua-dua kementerian.

"Penekanan ikrar adalah ke arah memastikan organisasi yang ditadbir KKM mematuhi Dasar Keselamatan KKP Negara serta Akta KKP 1994, selain memastikan keselamatan dan kesihatan fizikal, mental dan psikososial anggota organisasi,” katanya.

Tambahnya, KKP di dalam sektor kesihatan awam adalah sangat penting terutama di waktu negara masih lagi berhadapan dengan ancaman wabak Covid-19 dan krisis kesihatan.

"Keletihan petugas kesihatan, terutama doktor muda yang hangat diperkatakan kini sehingga wujud ancaman bunuh diri bukan sahaja membahayakan diri mereka, tetapi lebih malang jika ia mampu mewujudkan kesalahan di dalam menjalankan tugas,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya KKM serius untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan petugas kesihatan awam, elemen kebajikan dan KKP pekerja perlu diteliti serta dimasukkan di dalam kertas putih yang bakal dibentangkan di Parlimen.

"Keutamaan terhadap Pengenalan, Penilaian dan Kawalan Risiko mesti diberikan kepada golongan doktor baharu disebabkan penilaian kepada golongan ini telah melibatkan risiko kehilangan nyawa melalui pemikiran bunuh diri.

"Sekiranya cadangan ini diambil kira, kertas putih yang bakal dibentangkan mampu membuka jalan ke arah penyelesaian yang lebih jitu kepada permasalahan ini,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar pihak kerajaan khususnya KKM boleh menggembleng tenaga bersama pakar di dalam industri KKP termasuk MSOSH bagi mencari titik penyelesaian terhadap isu itu.

"Organisasi seperti MSOSH berupaya dalam menyalurkan khidmat penyiasatan bebas secara percuma. Antara kepakaran yang boleh disalurkan adalah analisis punca masalah untuk penyiasatan insiden-insiden terbabit.

"Kemudian membuat syor-syor langkah kawalan bersesuaian untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang dengan mengambil kira batas-batas dalam aspek perundangan,” jelasnya.