MANILA - Tiga maut dan seorang cedera dalam insiden tembakan berhampiran pusat pengundian di wilayah Maguindanao, selatan Filipina pada pagi Isnin, lapor Xinhua.
Menurut pihak tentera, penyerang yang menaiki van melepaskan tembakan ke arah pasukan pengaman yang membantu proses pengundian di bandar Buluan.
Mangsa adalah penyokong kepada seorang ahli politik tempatan yang bertanding untuk merebut jawatan datuk bandar.
Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya turut melaporkan satu lagi insiden tembakan di bandar Sumisip di wilayah Basilan, selatan Filipina, namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Pada malam Ahad sekurang-kurangnya lapan orang cedera dalam kejadian letupan bom tangan bandar Datu Unsay dan bandar Shariff Aguak di wilayah Maguindanao.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu. Polis sedang menjalankan siasatan di kawasan yang dikenal pasti sebagai"titik panas."
Menurut pihak berkuasa berkata insiden itu tidak menjejaskan proses pengundian.
Lebih 65.7 juta rakyat Filipina mengundi pada Isnin untuk memilih presiden dan naib presiden baharu, 12 senator, lebih 300 ahli Dewan Rakyat dan lebih 17,000 pegawai tempatan. - Bernama