IPOH - Kerajaan Perak melalui Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) menubuhkan Skuad Up2date bagi memendekkan tempoh bancian semula data e-Kasih daripada dua tahun kepada hanya lima hari bekerja.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebelum ini proses pemutihan ke atas peserta e-Kasih dilakukan setiap dua tahun sekali bagi memastikan ketepatan maklumat di dalam sistem e-Kasih dengan melawat berdasarkan tarikh akhir lawatan pembanci PPN Perak.
Menurutnya, Skuad Up2date yang ditubuhkan itu berperanan memastikan data serta maklumat peserta e-Kasih sentiasa dikemas kini sekali gus memudahkan kerajaan membuat perancangan serta dasar berkaitan kesejahteraan rakyat dengan lebih tepat.
"Dahulu apabila seorang miskin mendaftar, kemudian akan berlaku perubahan status dia sama ada lebih teruk miskin atau kadang-kadang suami dia meninggal, dua tahun baharu kita buat penilaian semula sebab kita kena lawat.
"Kali ini dengan menggunakan kod QR, mereka sendiri boleh melaporkan status terkini bagi diri masing-masing. Jadi, setelah terdapat perubahan itu maka skuad akan turun padang untuk melihat sama ada ia betul atau tidak dan tak perlu tunggu dua tahun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Ruji Ubi; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan exco-exco kerajaan negeri.
Saarani berkata, inisiatif baharu itu juga akan mengatasi beberapa isu kemas kini data yang sering berlaku sebelum ini termasuk peserta yang berpindah, meninggal dunia, pertambahan isi rumah atau pertambahan pendapatan selain kaedah tersebut menjimatkan masa.
"Selain itu, PPN Perak dengan kerjasama pentadbiran penghulu mukim turut memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu bermula 1 April lalu iaitu permohonan pendaftaran baru eKasih melalui sistem e-Penghulu yang dibangunkan oleh kerajaan negeri.
"Melalui inisiatif ini dapat membantu mengelakkan kesilapan maklumat peribadi semasa mengisi borang melalui MyKad Reader e-Penghulu dan pemohon tidak perlu lagi mengisi borang permohonan secara manual," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, pada majlis sama turut berlangsung penyampaian sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM23,100 kepada Badan Kebajikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak bagi tujuan pembelian peralatan khas kerusi roda dan tongkat putih untuk digunakan oleh 21 orang murid berkeperluan khas orang kurang upaya (OKU) miskin serta miskin tegar.
Beliau berkata, berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN), jumlah keseluruhan bilangan murid berkeperluan khas yang memerlukan peralatan sokongan di negeri Perak adalah seramai 6,492 orang.
"Daripada jumlah itu, seramai 3,766 adalah terdiri daripada murid sekolah rendah manakala bakinya 2,726 murid-murid sekolah menengah. Bilangan murid B40 mengikut kategori OKU yang memerlukan peralatan khas adalah seramai 147 orang.
"Terdapat seramai 64 orang murid berkeperluan khas B40 di bawah kategori sakit kronik seperti kanser, buah pinggang dan jantung yang memerlukan rawatan dengan anggaran kos bermula dari Rm5,000 sehingga RM300,000," katanya.