[VIDEO] KPDNHEP siasat AirAsia berhubung dakwaan tunda penerbangan

Iklan
KPDNHEP melakukan siasatan terhadap dakwaan AirAsia menunda dan menjadualkan semula penerbangan sehingga menimbulkan rungutan ramai pengguna.

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan siasatan terhadap dakwaan AirAsia menunda dan menjadualkan semula penerbangan sehingga menimbulkan rungutan ramai pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai keluhan rakyat berhubung perkara itu.

Iklan
Iklan

"Kelewatan ini dikesan sudah berlaku sejak penghujung bulan lalu dan masih berlanjutan bagi tempoh selepas raya ketika ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.

Menurutnya, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam melaksanakan siasatan tersebut.

Iklan

"KPDNHEP terus menjalankan siasatan daripada sisi kepentingan pengguna dan bekerjasama dengan MOT bagi merungkai permasalahan ini, demi memastikan ia tidak berlanjutan serta berulang pada masa depan," katanya.

Beliau berkata, pengguna penerbangan yang terkesan dengan perkhidmatan itu berhak menuntut pampasan bagi meneruskan perjalanan, tertakluk kepada beberapa faktor.

Iklan

"Bagi penangguhan selama dua jam atau lebih, pampasan ini mungkin merangkumi makanan, panggilan telefon dan akses internet manakala penangguhan melebihi lima jam pula merangkumi pampasan penginapan hotel serta pengangkutan.

Pembayaran balik secara penuh perlu dibuat oleh syarikat sekiranya penerbangan dibatalkan," katanya.

Alexander berkata, satu-satunya pengecualian bagi mendapatkan pampasan adalah apabila berlakunya suatu keadaan luar biasa, termasuk risiko keselamatan atau cuaca ekstrem, yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangkakannya.

"Jika anda berpandangan bahawa anda tidak menerima pampasan sewajarnya, sila kemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan tersebut sebelum menghubungi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom)," katanya.