KUALA TERENGGANU - Laksa penang hasil air tangan peniaga yang dijenamakan sebagai laksa beseng (besen) memenuhi selera masyarakat Terengganu.
Sambutan hangat diterima apabila kedai makan yang beroperasi di Kampung Kesom, Manir bermula jam 2 hingga 6.30 petang itu tidak pernah lengang dikunjungi pelanggan terutama pada hujung minggu.
Bukan sekadar penduduk di Kampung Kesom, ada kalanya pelanggan yang datang ialah dari luar seperti Chendering dan Batu Rakit, Kuala Nerus.
Pengusahanya, Ros Aida Long, 39, berkata, sebanyak 10 kilogram (kg) laksa yang dijual setiap hari, namun, sekiranya pelanggan ramai, dia akan memasak lebih bagi memenuhi permintaan mereka.
"Biasanya kita akan masak siap-siap sebanyak 10kg laksa, tetapi, ada masa-masa tertentu ramai pelanggan yang datang pada sebelah petang. Jadi, kita akan tambah lagi laksa.
"Selain laksa beseng, pelanggan juga boleh menikmati bersama hidangan pencuci mulut yang lain seperti kuih akok yang sebelum ini saya jenamakan sebagai Akok Kedut Cik Ros dan air batu campur (ABC),” katanya yang memasarkan perniagaan menerusi media sosial Facebook, Laksa Beseng Cik Ros.
Berkongsi cerita bagaimana boleh menghasilkan laksa beseng, katanya, pada mulanya dia hanya menyediakan laksa penang untuk dinikmati oleh ahli keluarga, namun, anaknya menyarankan supaya dia membuat kelainan dengan menjual laksa.
"Mula-mula saya masak untuk anak saya sebab dia teringin nak makan laksa penang. Lepas tu, anak kata laksa ni sedap dan boleh dijual.
"Saya pun cuba jual dengan buat cash on delivery (COD). Dari situ saya dapat permintaan daripada rakan-rakan dan ada yang sarankan jual depan rumah.
"Saya pun cuba jual depan rumah mak saya, bawah kanopi. Lepas tu, makin ramai pelanggan yang datang malah ada pelanggan tetap yang datang beli laksa saya,” katanya.
Ros Aida berkata, selepas mendapati laksanya mendapat permintaan yang tinggi, dia mula membuka kedai makan di hadapan rumahnya dengan bantuan suami, Shahid Yaakob, 43.
"Mula-mula kedai ini untuk jual biasa je tak ada meja dan kerusi, lepas ramai kawan-kawan yang datang nak rasa laksa saya, saya pun sediakan meja dan kerusi serta hias kedai sikit-sikit.
"Bila ramai datang makan sini, saya mula fikir nak hidang laksa dalam apa. Puas juga cari bekas yang sesuai nak hidang laksa sebab dah biasa jual bungkus. Cari punya cari, terjumpalah besen kecil yang ‘comel’ dan sesuai untuk diletakkan laksa.
"Anak saya pun beri idea untuk beri jenama laksa penang ini sebagai laksa beseng,” katanya.
Keenakan laksa hasil air tangan Ros Aida mendapat pujian. Kebanyakan pelanggan menggemari keenakan kuah laksanya, malah ada yang mengatakan laksa penang air tangan Ros Aida ‘boleh lawan’ laksa dari negeri asal.
Seorang pelanggan, Mohammad Basri Yusof, 51 dari Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang berkata, laksa penang Ros Aida menjadi pilihan dia sekeluarga terutama anak-anak.
"Bila dia mula jual akok kedut cik ros kat sini, sejak itu kami selalu datang dan laksa penang memang menjadi pilihan anak-anak.
"Saya pula gemar teh o arab sebab hanya ada kat sini, kat lain belum jumpa lagi. Laksa penang pula kuahnya memang sedap. Kalau orang yang suka pedas dia nak pedas lagi, tapi bagi saya yang ni dah ok.
"Selain laksa kuah putih dan kuah merah yang biasanya dinikmati orang Terengganu, laksa penang ni boleh lawan doh laksa penang hok (yang) dari negeri asal dia,” katanya.