KEJAYAAN skuad terjun kebangsaan menuai empat pingat emas setakat ini mencerminkan kehebatan daya ketahanan mental barisan penerjun negara yang berdepan kesuntukan masa untuk menguji venue pertandingan sebelum memulakan cabaran di temasya Sukan SEA ke-31 di sini.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-31, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, selain daya ketahanan mental yang tinggi, kejayaan itu turut dipengaruhi dengan kehadiran bekas atlet terjun negara, Datuk Leong Mung Yee sebagai pengurus skuad kebangsaan di temasya sukan dwitahunan itu.
Beliau berkata, kehadiran Mun Yee yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan itu dilihat membantu persediaan kem terjun negara menjelang temasya sukan dwitahunan itu.
"Saya rasa mental atlet begitu bagus dan utamanya mereka dapat pengurus pasukan yang merupakan bekas atlet. Mungkin semangat yang ada pada Datuk Leong Mun Yee memberi semangat lagi kepada barisan atlet.
"Beliau (Mun Yee) mempunyai pengetahuan mengenai sukan terjun dan kemampuan atlet yang akan bertanding,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Akuatik My Dinh di sini, pada Isnin.
Nur Azmi berkata, kem terjun negara wajar dijadikan sebagai contoh terbaik kepada kesemua sukan yang bakal bersaing di temasya sukan dwitahunan itu.
"Sudah tentu kem terjun menjadi satu contoh yang terbaik kerana misi dan visinya hampir tercapai iaitu sasaran lapan pingat emas, sekarang sudah 50 peratus, insya-Allah esok kita akan meraikan dua lagi dan keesokannya dua lagi,” katanya.
Sebelum ini, timbul kerisauan terhadap kem terjun negara apabila berdepan kekangan hanya dapat menguji venue pertandingan di Pusat Akuatik My Dinh, di sini, dua hari sebelum acara bermula.
Terdahulu, hari ini kem terjun negara membutirkan dua pingat emas masing-masing menerusi Ooi Tze Liang dalam acara 1 meter (m) papan anjal lelaki dan gandingan Ng Yan Yee-Ong Ker Ying (3m papan anjal seirama wanita) selepas turut merangkul dua emas, semalam.
Dua emas semalam hadir menerusi Nur Dhabitah Sabri dalam acara 1m papan anjal wanita yang juga merupakan emas sulung negara sebelum gandingan Tze Liang-Chew Yi Wei menggandakan keceriaan Kontinjen Malaysia menerusi emas acara 3m papan anjal seirama lelaki.
Pada Selasa, kem terjun akan meneruskan pemburuan pingat emas dengan Yan Yee dan Ker Ying menggalas cabaran negara dalam acara 3m papan anjal wanita, sementara gandingan Jellson Jabillin-Hanis Nazirul Jaya Surya bertanding dalam acara 10m platform seirama lelaki.
Malaysia menyasarkan menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan pada Sukan SEA edisi kali ini. -Bernama