KUALA LUMPUR - Beberapa syarikat luar negara termasuk dari Eropah, Asia dan Timur Tengah berminat untuk membeli kepentingan dalam Malaysia Airlines Bhd (MAB), kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.
Beliau berkata, mereka tidak semestinya mengambil alih keseluruhan syarikat tetapi mungkin hanya sebahagian kepentingan syarikat penerbangan nasional itu yang kini 100 peratus milik Khazanah Nasional Bhd.
"Alhamdulillah, ramai yang memilih untuk membeli saham MAB sama ada orang Asia, Eropah dan Timur Tengah. Mereka telah menyatakan hasrat tersebut kepada kerajaan dan ada juga yang menulis surat kepada saya.
"Mereka (pihak yang berminat untuk membeli) boleh membuat kajian mengenai syarikat tersebut (MAB),” katanya dalam temu bual kepada program berita TV3, Buletin Utama, hari ini.
Daim menjelaskan sektor penerbangan kini semakin rumit, memandangkan dana besar dan tenaga kepakaran amat penting.
Oleh yang demikian, jika sebahagian kepentingan MAB dijual kepada firma luar, ia akan mendapat suntikan dana dan kepakaran, secara tidak langsung akan memulihkan syarikat.
"Tiada salahnya jika orang lain nak beli saham kita. Tidak menjadi masalah, sekiranya mereka mahu membawa masuk kepakaran,” katanya.
Daim juga berkata kerajaan tidak seharusnya mencampuri urusan operasi syarikat penerbangan nasional itu sebaliknya cukup sekadar menyokong melalui membantu mendapatkan hak pendaratan di lokasi strategik.
Beliau, bagaimanapun, berpendapat, tiada keperluan untuk meneliti semula cadangan penggabungan Malaysia Airlines dan AirAsia sebagaimana yang pernah diperkatakan sebelum ini.
"Malaysia Airlines adalah (syarikat) premium, dan AirAsia adalah syarikat tambang rendah, jadi lebih baik mereka bersaing...seterusnya memberi nilai lebih baik,” katanya.
Daim turut menegaskan, masa depan dan kebajikan kakitangan MAB perlu dikekalkan walau apa pun keputusan kerajaan, kerana golongan ini akan membawa syarikat keluar daripada masalah kewangan yang dihadapinya. - Bernama