SEPANJANG Syawal, sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia mengadakan rumah terbuka, sekali gus memberikan peluang kepada kenalan pelbagai bangsa dan etnik meraikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan.
Pada tahun ini, jemputan rumah terbuka paling dinantikan pelbagai lapisan masyarakat selepas dua tahun berturut-turut tidak dapat diadakan berikutan pandemik Covid-19.
Selain rakyat biasa, sektor-sektor korporat dan orang-orang kenamaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta jemaah menteri tidak melepaskan peluang menganjurkan rumah terbuka.
Selain menghidangkan pelbagai makanan yang lazat kepada tetamu, rumah terbuka juga mengangkat tradisi kunjung-mengunjung yang dapat mengeratkan silaturahim serta mewujudkan perpaduan antara pelbagai bangsa dan agama di negara ini.
Kehadiran lebih 100,000 tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Seri Perdana, Putrajaya pada Ahad membuktikan acara rumah terbuka mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan dalam kepelbagaian kaum di negara ini.
Rumah terbuka juga menunjukkan kebersamaan yang jitu dalam masyarakat di Malaysia dan telah mengangkat Malaysia di persada dunia sejak sekian lama.
Sama ada disedari atau tidak, program rumah terbuka juga membuka rezeki kepada peniaga kecil, pengusaha kuih tradisional, pengusaha makanan serta sewaan khemah untuk menjana pendapatan.
Bagi yang berkemampuan untuk menganjurkan rumah terbuka berskala besar pula, bolehlah juga menggunakan khidmat perunding majlis keraian.
Penulis berharap rakyat Malaysia akan mengekalkan keharmonian dan perpaduan menerusi rumah terbuka ini agar semangat kekitaan ini dapat dikekalkan.
Namun di sebalik kemeriahan sambutan rumah terbuka pada tahun ini selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April lepas, orang ramai harus sedar bahawa penularan Covid-19 masih belum berakhir.
Setakat 8 Mei 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 2,153 kes baharu Covid-19 harian, menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini ialah sebanyak 4,458,889.
Menurut Laman CovidNow, kes aktif kini berjumlah 22,556 iaitu turun 66.8 peratus berbanding 14 hari lalu. Sebanyak empat lagi kematian yang dikaitkan dengan Covid-19 dilaporkan, di mana tiga daripadanya diisytiharkan sebagai brought in dead (BID).
Walaupun dapat beraya dengan memakai pakaian cantik bagi menceriakan rumah terbuka, dihiburkan dengan lagu raya dan menikmati pelbagai juadah enak, kita tidak boleh mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini.
Penulis bimbang, kehadiran orang ramai pada majlis terbuka membuatkan tetamu leka dalam menjaga keselamatan dan kesihatan diri dan keluarga.
Sedangkan kita sering diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan pandemik Covid-19 tetapi menjadikan majlis rumah terbuka sebagai satu permulaan agar dapat hidup normal semula setelah dua tahun berdepan sekatan perjalanan akibat Covid-19.
Dalam masa sama, penulis menasihatkan mereka yang mengunjungi mana-mana rumah terbuka supaya sentiasa lapang dada dalam bercampur gaul dengan orang ramai termasuk saudara mara. Bukan senang untuk bertemu dan bersua muka dengan rakan yang jauh, maka inilah masa yang ditunggu.
Terimalah layanan tuan rumah dengan seadanya kerana sebagai tetamu, kita tidak perlu menjadikan ruang bertemu dan mengeratkan silaturahim itu dicemari dengan perangai yang menjengkelkan.
Jadikan kerinduan kita untuk memeriahkan rumah terbuka dengan suasana yang harmoni dan potretkan kemeriahan itu sebagai kenangan pada masa akan datang.
Bukan apa, kita tidaklah mahu rumah terbuka yang sepatutnya menjadi kenangan terindah ketika Aidilfitri ini bertukar kepada pengalaman yang meletihkan.
Sudahnya, rumah terbuka tersebut tidak mencapai matlamat dan keberkatan yang diharapkan.
* Norshahzura Mat Zuki ialah Penyelaras Advertorial, Kandungan Komersial Sinar Harian