SHAH ALAM - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim telah menerima kunjungan hormat Delegasi Senator Perancis di bangunan Parlimen pada Isnin.
Delegasi seramai enam orang itu diketuai oleh Presiden Kumpulan Persahabatan Antara Parlimen Perancis-Asia Tenggara, Mathieu Darnaud.
Parlimen Malaysia dalam satu kenyataan berkata, matlamat utama kunjungan hormat itu adalah untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala yang telah sedia wujud di antara Parlimen Perancis dan Parlimen Malaysia.
Menurut kenyataan itu, beberapa perkara lain turut dibincangkan antaranya ialah hasrat untuk mewujudkan satu proses dialog dalam mempelajari sistem perundangan dan pembahagian kuasa di Malaysia antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta peranan Parlimen sebagai tonggak demokrasi dan suara rakyat.
"Selain itu, penglibatan generasi muda dalam politik dan pentadbiran negara serta pembentukan persefahaman budaya dan agama antara negara-negara Barat dan Timur,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Turut sama menerima kunjungan itu Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Timbalannya, Datuk Mohd Rashid Hasnon serta dua orang Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong dan Datuk Bobbey Ahfang Suan.
Mengulas lanjut Parlimen Malaysia memberitahu, perbincangan turut menyentuh tentang tindakan sekatan perdagangan yang dikenakan Perancis dan Kesatuan Eropah (EU) ke atas pasaran minyak sawit dan kepentingannya sebagai sumber kewangan negara secara menyeluruh.
"Kemudian, hasrat untuk membentuk satu Jawatankuasa Bersama berkenaan Demokrasi dan Hak Asasi Manusia bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
"Persefahaman turut terbentuk untuk menghantar dan menerima pegawai-pegawai Parlimen dari kedua-dua belah pihak untuk mempelajari sistem pentadbiran dan perundangan parlimen masing-masing,” kata kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, Parlimen Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Perancis sebagai sebuah negara pertama yang menerima pantun Melayu dalam kesusasteraan negara mereka seperti yang dipopularkan oleh sasterawan, Victor Hugo.