PUTRAJAYA - Syarikat penerbangan AirAsia dijangka memberi maklum balas kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung rungutan pengguna berikutan isu kelewatan dan penjadualan semula penerbangan yang berlaku baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, maklum balas itu akan dibuat AirAsia dalam tempoh 24 jam selepas pihak KPDNHEP menghubungi pengurusan syarikat penerbangan itu bagi mendapatkan penjelasan.
"Meskipun perihal mengenai industri penerbangan banyak tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) tetapi sebagai menteri KPDNHEP, saya akan campur tangan sekiranya hak pengguna terkait sama," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.
Menurutnya, bagi melindungi kepentingan pengguna, tindakan drastik diambil oleh pihak kementerian bagi menyelesaikan masalah terbabit.
"Tiada ‘sembang kari’, cakap tak serupa bikin, ‘siasat dan siasat’ atau sekadar berpeluk tubuh dalam isu ini.
"Kepentingan pengguna adalah amanah saya sebagai Menteri KPDNHEP," katanya.
Beliau berkata, usaha merungkai isu tersebut perlu dibuat secara teratur bagi memastikan suatu penyelesaian menyeluruh berupaya dirangka dan dilaksanakan.
"Justeru, antara isu kepentingan pengguna yang diketengahkan menerusi libat urus awal bersama AirAsia adalah penangguhan jadual penerbangan, semakan semula jadual penerbangan sehingga menjangkau lebih enam jam," katanya.
Alexander berkata, turut dibangkitkan kelayakan pengguna mendapatkan pampasan sekiranya mengalami kelewatan penerbangan sebegini.
"Bagi memudahkan pengguna, saya meminta AirAsia untuk menyediakan carta aliran mengenai proses memfailkan aduan rasmi bagi mendapatkan pampasan tertakluk kepada garis panduan ditetapkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom)," katanya.
Sehubungan itu, ujarnya, MOT dan Mavcom didesak untuk bertindak lebih proaktif serta tampil untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu ini.