JOHOR BAHRU - Ekonomi yang bebas, global dan berorientasikan pasaran adalah kunci utama kepada kemajuan radikal ekonomi Johor.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Johor mesti hidup dengan realiti globalisasi, kebergantungan dan menyokong satu sama lain terutama Singapura.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, selepas sempadan antarabangsa negara dibuka semula pada awal bulan lalu telah dikemukakan pelbagai pandangan tentang tren pekerja tempatan yang terus bekerja di republik tersebut.
"Ada yang mencadangkan gaji hampir setimpal dan ada juga menyarankan pelbagai strategi tetapi mungkin mencabar untuk di realisasikan.
"Realitinya, Johor berada dalam kedudukan yang unik dan nadi ekonominya sangat bergantung kepada aktiviti rentas sempadan. Ekonomi rentas sempadan telah menjadi ciri penting kepada kemajuan dan pertumbuhan ekonomi Johor selama ini.
"Bila terhentinya pergerakan di sempadan Johor dan Singapura semasa pandemik, kita boleh melihat betapa sukarnya ekonomi Johor untuk berfungsi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, kebolehsaingan Johor secara realistiknya sangat bergantung kepada kecergasan ekonomi Singapura.
Justeru ujarnya, masa depan Johor mesti disandarkan kepada globalisasi dan hubungan ekonomi serantau.
"Perancangan ekonomi Johor mesti berorientasikan strategi bahawa Johor dan Singapura adalah daerah geografi yang terangkum serta terhubung serta saling memerlukan.
"Kekuatan mata wang Singapura akan terus menjadi faktor penarik utama. Tetapi jangan lupa, mereka yang menerima upah dalam dollar Singapura inilah yang membeli rumah di Johor, berbelanja di pelbagai 'mall' di Johor Bahru dan menyokong pelbagai sektor ekonomi Johor," katanya.