Jurugambar media kelahiran Kuala Lumpur menang Anugerah Pulitzer

Iklan
Marcus Yam Foto: Facebook Marcus Yam

SHAH ALAM - Seorang jurugambar media Los Angeles Times kelahiran Malaysia, Marcus Yam, 38, memenangi Anugerah Pulitzer bagi kategori gambar berita terkini.

Memetik laporan Los Angeles Times, Marcus yang berasal dari Kuala Lumpur itu berjaya memenangi hadiah tersebut kerana hasil tangkapan gambar-gambarnya yang menyentuh hati semasa peristiwa kejatuhan Kabul, Afghanistan kepada pejuang Taliban.

Iklan
Iklan

Menurut laporan berkenaan, gambar-gambar itu dapat ditangkap walaupun Marcus dikasari dan diancam oleh beberapa pejuang Taliban selain kekangan teknikal untuk menghantar gambar dari medan perang.

Hakim bagi Anugerah Pulitzer menyifatkan gambar tangkapan Marcus sebagai imej penting dan asli mengenai pengunduran Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan yang memaparkan nilai kemanusiaan dalam sejarah perubahan negara itu.

Iklan

Selain itu, Marcus berkongsi hadiah tersebut bersama empat jurugambar lain daripada Getty Images dan dipuji kerana hasil tangkapan gambar yang komprehensif dan menarik mengenai serangan Kapitol AS pada 6 Januari 2021.

Anugerah diterima Marcus merupakan Hadiah Pulitzer ke-49 diterima The Times sejak 1942 termasuk enam pingat emas yang diterima atas perkhidmatan awam.

Iklan

Pemilik dan Pengerusi Eksekutif The Times, Dr Patrick Soon-Shiong, turut menceritakan semula kepada kakitangannya mengenai pengalaman yang dialami oleh Marcus ketika membuat liputan tahun lalu.

"Apa yang kamu (Marcus) lakukan menerusi fotografi dan gambar, adalah amat penting untuk dunia. Perkataan genosid perlu digunakan.

"Gambar anda menggambarkannya dan ia amat penting," katanya dalam satu sidang video baru-baru ini.

Marcus menjadi jurugambar selepas meninggalkan kerjaya asalnya sebagai jurutera aeroangkasa dan menyertai syarikat Los Angeles Times pada 2014.

Dia sebelum ini pernah mendapat pengiktirafan menerusi anugerah kebangsaan kerana gambarnya yang mendokumenkan kesengsaraan harian dialami penduduk yang terpaksa berdepan pertempuran genting di Semenanjung Gaza.