IPOH – Keazaman tinggi mahu membuktikan keupayaan seorang wanita mendorong Zaleha Rabit yang ketika itu berusia 19 tahun menyertai polis sehingga mencatat sejarah sebagai seorang daripada 54 anggota wanita pertama diterima menyertai pasukan itu, 63 tahun lalu.
Memulakan perkhidmatan pada Ogos 1956, Zaleha, 82, yang bersara dengan pangkat Sub Inspektor pada usia 55 tahun berbangga apabila sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau turut diiktiraf sebagai wanita pertama menjadi ketua polis balai.
Ketika ditemui, Zaleha berkata, sebaik tawaran kemasukan polis dibuka, Perdana Menteri pertama, Tuanku Abdul Rahman selalu memperkatakan soal memperkasa wanita yang mana wanita perlu ke hadapan untuk membuktikan kemampuan diri.
"Bila mendengarnya saya rasa tercabar dan semangat jadi begitu berkobar-kobar hinggakan saya fikir, jika bukan saya yang lakukan, siapa lagi. Jadi saya nekad untuk masuk polis walaupun ibu bapa saya tidak begitu gembira dengan keputusan tersebut,” katanya.
Menurutnya, dia memilih menjadi polis meskipun ketika itu berkhidmat sebagai guru kerana merasakan cabaran tinggi yang perlu dihadapi memandangkan belum ada anggota kalangan wanita.
"Ahli keluarga tidak suka saya masuk polis sebab tugasnya lasak, perlu ke sana-sini dan risiko bahaya senjata api, tetapi saya merasakan itulah cabarannya jika nak buktikan yang wanita itu kuat dan boleh hadapi tekanan.
"Alhamdulillah, usaha saya naik bas seorang diri dari rumah di Beranang, Selangor ke Kuala Lumpur untuk menghadiri temuduga akhirnya berbaloi apabila diterima masuk sebagai konstabel,” katanya.
Zaleha yang kini menetap di Kampung Tengku Hussein, Manjoi berkata, sebaik tamat latihan, beliau terus dihantar berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan dinaikkan pangkat kepada Koperal beberapa tahun kemudian diikuti Sarjan.
Katanya, memori yang menjadi kebanggaan sehingga kini apabila beliau diberi kepercayaan menggalas tugas Ketua Polis Balai Pekan Baru dengan pangkat Sarjan Mejar sekitar awal tahun 80-an.
"Lebih setahun saya pegang jawatan itu sebelum menerima kenaikan pangkat sebagai Sub Inspektor dan ditugaskan di IPK Perak, walaupun hanya sekejap, saya tetap gembira kerana dapat membuktikan wanita boleh sampai ke peringkat itu,” katanya.
Antara operasi paling mencabar pernah disertai adalah gerakan pembersihan komunis di Gerik.
"Banyak perkara saya perolehi sepanjang berada dalam polis antaranya kemahiran berenang, seni mempertahankan diri dan menembak yang saya fikir tidak akan dapat saya lakukan dengan pasukan lain,” katanya.
Dikurniakan tiga anak terdiri dua perempuan dan seorang lelaki, enam cucu serta dua cicit, Zaleha tidak berasa ralat apabila tiada seorang pun daripada mereka mengikut jejak langkahnya sebagai polis.
"Persepsi mengenai kerjaya wanita dahulu dan sekarang tidak sama, kini semua pihak sudah lebih terbuka dan wanita perlu gunakan peluang ini sebaiknya untuk majukan diri tidak kiralah dalam apa juga bidang,” katanya.
Antara pengiktirafan diterima beliau termasuklah Pingat Pangkuan Negara (PPN), Darjah Kesatria Taming Sari (KTS) dan terbaru, Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN).
Terdahulu, Zaleha menerima Sijil Penghargaan Khas disampaikan Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Mohd Shahar Ibrahim sempena Sambutan Hari Polis ke 212 di Kem Polis Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta.
Penghargaan itu diberikan atas usaha Zaleha menjejaki 54 kumpulan pertama Pasukan Polis Konstabel Wanita negara menerusi program Jejak Kasih sejak tahun lalu.
Sehingga kini, seramai 11 anggota berjaya dijejaki termasuklah Sariah Ali yang meninggal dunia pada usia 84 tahun akibat sakit tua, 11 Mac lalu.