PH bentuk jawatankuasa pilihan raya, manifesto dan Jelajah Harapan

Iklan
Dari kiri, Anwar, Mohamad, Siew Fook

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan membentuk jawatankuasa pilihan raya, jawatankuasa manifesto dan jawatankuasa Jelajah Harapan.

Majlis Presiden PH berkata, ia bagi mempersiap jentera PH serta membangkitkan semangat rakyat terutama pengundi atas pagar menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Iklan
Iklan

"PH akan melipat gandakan usaha, merangkul seluruh kekuatan pembangkang untuk memastikan PRU15 milik rakyat,” kata mereka dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Iklan

Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH turut mengulangi pendirian mereka sebelum ini bahawa Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen.

"Bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi di Malaysia,” kata mereka.

Iklan

Menurut mereka, PH dalam masa sama juga komited untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963.

"Terbentuknya Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 adalah berdasarkan kepada persefahaman dan niat ikhlas di kalangan pemimpin-pemimpin pengasas kita terdahulu untuk melihat sebuah negara Malaysia yang kemakmuran dan kemajuannya dapat dirasai bersama oleh seluruh rakyatnya.

"Segala peruntukan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hak istimewa kepada Sabah dan Sarawak perlu dilaksana seperti perkara 112C dan 112D yang mana tafsirannya perlu dibuat berdasarkan niat Perlembagaan dan bukannya dibuat untuk menidakkan hak Sabah dan Sarawak,” tegas mereka.

Menerusi kenyataan ini juga, Majlis Presiden PH turut mengucapkan penghargaan mereka kepada semua ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang kekal setia dengan prinsip perjuangan mereka.

"Pengalaman pahit pengkhianatan Langkah Sheraton harus mengajar kita erti sebenar perjuangan. Ia wajib menyedarkan kita bahawa kemenangan bermakna menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang.

"Kita juga perlu waspada terhadap kelompok dan puak yang tidak senang dengan kemenangan rakyat,” ujar mereka.