Undi18: Perkasakan program parti berkait golongan muda

Iklan
Adam Adli (kanan) dan Fahmi (kiri) dalam debat antara calon Ketua AMK yang disiarkan secara langsung di platform Astro Awani pada Selasa.

SHAH ALAM - Golongan Undi18 dilihat sudah cukup matang dan bersedia bagi melibatkan diri dalam proses demokrasi serta membuat membuat keputusan untuk negara ini.

Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim berkata, setiap dasar yang dibuat oleh kerajaan harus mengambil kira suara dan pendapat daripada suara anak muda.

Iklan
Iklan

Justeru itu, ujar beliau, pendekatan pertama yang boleh diambil untuk mereka adalah memperkasakan program-program parti yang berkait dengan golongan muda.

"Yang kedua, adalah menjadi sebuah pembuat dasar yang bukan hanya membuat dasar terkait dengan orang muda tetapi juga terkait dengan masa depan orang muda tersebut.

Iklan

"Erti kata lain kita bukan hanya memikirkan dasar ataupun merangka dasar yang ada tarikh luput, sebaliknya dasar yang boleh memanfaatkan mereka ini sehinggalah kepada hujung hayat.

"Dasar tentang perumahan, dasar tentang pendidikan dan dasar tentang pekerjaan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika dalam debat antara calon Ketua AMK, yang turut menampilkan bersama Fahmi Zainol yang disiarkan secara langsung di Astro Awani pada Selasa.

Mengulas lanjut, Adam Adli yang juga bekas aktivis mahasiswa itu berkata, tanggungjawab yang digalas oleh parti politik bukan hanya menyasarkan kepada satu-satu demografi tetapi juga memikirkan dasar yang lebih komprehensif.

"Kita akan tengok sekarang ini golongan muda kebanyakannya terlibat dengan gig ekonomi sedangkan kita tahu gig ekonomi tidak ada ruang yang secukupnya untuk perkembangan dan juga yang kita sebut sebagai mobiliti sosial dan sebagainya.

"Jadi inilah cabaran-cabaran yang perlu kita hadapi iaitu dasar yang kuat dan kukuh bukan hanya ketika mereka ini muda tetapi sebaliknya seumur hidup.

"Saya yakin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi AMK ada kekuatan ini kita adalah parti reformasi parti masa hadapan. Orang boleh yakini kita semua,” ujarnya.