SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perjuangan partinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jauh lebih murni demi sebuah kebenaran dan kewajipan.
Justeru katanya, dakwaan pihak tertentu bahawa UMNO sudah tidak relevan merupakan satu kesilapan besar.
Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, meskipun UMNO pernah seakan-akan nyaris tumbang dipukul ribut, namun akarnya begitu utuh lagi kuat.
"UMNO akan kembali berjuang dalam PRU akan datang. Amalan kita bermuafakat dan tidak berpecah belah. Serumpun bak serai, sesusun bak sireh.
"Perjuangan UMNO pada PRU-15 jauh lebih murni. Demi sebuah kebenaran dan kewajipan. InsyaALLAH rakyat bersama UMNO kerana UMNO akan terus bersama rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Menerusi hantaran yang dimuat naik sempena Ulang Tahun UMNO ke-76 yang disambut Rabu, Ahmad Zahid turut menegaskan walaupun parti yang dipimpinnya berpaksikan Melayu-Islam, namun kepentingan hak bukan Melayu tidak pernah diketepikan.
"UMNO mengangkat kepentingan Melayu lagi memperkasakan syariat agama. UMNO jua sebuah parti politik semangat nasionalisme Melayu berpaksikan Islam.
"Kerana itu UMNO masih bertapak di hati Melayu disebabkan asas penubuhannya yang jelas.
"Bagaimanapun UMNO tidak pernah sama sekali mengenepikan hak bukan Melayu,” katanya.