Debat ditunggu-tunggu orang ramai, peminat politik

Iklan
Pentas debat akan dimulai dengan Adam Adli dan Fahmi Zainol pada Selasa ini, diikuti Saifuddin Nasution dan Rafizi serta diakhiri Debat Perdana antara Najib dan Anwar yang akan diadakan pada 12 Mei ini.

MINGGU ini, tiga debat berlangsung dengan pembukaannya dimulakan menerusi ‘Debat Ketua AMK’ yang berlangsung pada Selasa.

Debat Ketua AMK’ ini mempertemukan dua orang bekas mahasiswa iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Zainol yang kedua-duanya bertanding untuk jawatan Ketua AMK.

Iklan
Iklan

Ia bersiaran selama satu jam di Astro Awani dan kedua-dua calon tampil dengan idea serta jawapan yang bernas.

Pada Rabu pula, sebuah lagi debat juga dinantikan atau ditunggu-tunggu oleh peminat politik tanah air dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Iklan

Jika ‘Debat Ketua AMK’ itu boleh dianggap sebagai 'adik', debat menerusi program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ yang berlangsung pada 3 petang ini akan menampilkan ‘abangnya’ pula.

Debat itu menampilkan dua orang calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli.

Iklan

Ia akan berlangsung selama satu jam 30 minit dan dimulakan dengan sesi pengenalan kedua-dua belah pihak serta kemudiannya diikuti dengan soalan sesama mereka serta daripada moderator.

Debat ini juga merupakan satu petunjuk siapakah yang bakal mengambil alih pucuk pimpinan PKR daripada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program Berani Semuka ini menggunakan format diskusi ala pemilihan presiden Amerika Syarikat namun disesuaikan dengan cara masyarakat Malaysia.

Program ini pernah menampilkan pertembungan idea tokoh-tokoh hebat tanah air termasuklah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof dan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang berdebat mengenai isu dakwaan penyelewengan aset Tabung Haji pada 14 Ogos 2020.

Selain itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga pernah berdebat dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim berhubung pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 pada 13 Januari lalu.

Sementara itu, kemuncak atau ‘ibu’ kepada debat pada minggu ini adalah membabitkan Anwar dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Debat yang penuh ‘drama’ pada awalnya ini akan berlangsung di Auditorium MATIC pada Khamis pada jam 9 malam.

Semua persoalan akan menjurus kepada Sapura Energy Bhd dan berkemungkinan tentang masa depan Malaysia.

Orang ramai boleh menyaksikan debat ini di saluran Astro Awani, Facebook Sinar Harian, Malaysia Gazette dan Sin Chew Daily.