Kerajaan Pulau Pinang jangan 'syok sendiri'

Iklan
Muhamad Yusoff ketika ditemui wartawan Sinar Harian di pejabatnya pada Selasa.

TASEK GELUGOR - Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak perlu 'syok sendiri' dan berbangga dengan pencapaian kononnya berjaya melaksanakan 90 peratus daripada 68 janji yang terkandung di dalam manifesto pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor berkata, manifesto 2018 bertemakan Saya Sayang Pulau Pinang merangkumi 11 tema utama yang digariskan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) itu masih banyak yang gagal dilaksanakan sepenuhnya selain didakwa hanya fokus kepada kawasan tertentu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya adil dan tidak meminggirkan mana-mana pihak dalam memenuhi semua janji-janji sebelum berbangga kononnya telah berjaya menunaikan manifesto kepada rakyat Pulau Pinang.

"Masih banyak lompong dan janji yang belum ditunaikan malah apa yang digariskan dalam 11 teras utama oleh Ketua Menteri hanya retorik semata-mata.

Iklan

"Apa maksud perumahan untuk semua yang telah mereka berjaya buktikan? Adakah Rumah untuk golongan tertentu dan tidak mampu dimiliki oleh rakyat marhaen itu lah yang mereka maksudkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di sini, pada Selasa.

Muhamad Yusoff yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mendakwa pembangunan dan kemudahan asas yang tidak seimbang juga antara kegagalan kerajaan negeri yang sehingga kini masih berlaku dan ia tidak langsung menggambarkan kejayaan mereka dalam memenuhi janji manifesto.

Iklan

Tambahnya, apa yang lebih menyedihkan kebanyakan kawasan yang ketinggalan itu adalah di luar bandar terutamanya yang dikuasai oleh ADUN pembangkang negeri ini.

"Masih banyak kampung di Sungai Dua yang tidak mendapat akses atau capaian internet yang baik serta kemudahan asas lain malah peruntukan untuk pihak berkuasa tempatan di sini juga sedikit tidak setara yang diterima di kawasan lain.

"Kebanyakan pembangunan hanya tumpu di kawasan bandar termasuk juga pelancongan, kebudayaan, kesenian, warisan dan sukan yang mereka gariskan," katanya.

Mengulas lanjut, Muhamad Yusoff berkata, usaha kerajaan negeri menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau juga antara janji yang tidak boleh dipercayai selepas berlaku banyak kejadian bukit yang digondolkan selain perancangan melaksanakan pelbagai projek tambakan laut yang jelas akan memusnahkan lagi ekosistem serta alam sekitar negeri ini.

"Ini yang mereka kata nak jaga alam sekitar? Ini agenda hijau yang diusahakan mereka?" soalnya lagi.

Pada Isnin Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berjaya melaksanakan 90 peratus daripada 68 janji yang terkandung di dalam manifesto pada PRU14 lalu.

Kon Yeow berkata, sebanyak 54 perkara yang dijanjikan dalam manifesto kepada rakyat Pulau Pinang pada tahun 2018 berjaya ditunaikan oleh kerajaan negeri setakat ini.

Menurut beliau, sebanyak 12 janji masih pada peringkat pelaksanaan manakala dua lagi tidak akan dijalankan ekoran berlaku pertindihan dengan program Kerajaan Persekutuan.

Kon Yeow menjelaskan bahawa Manifesto 2018 bertemakan Saya Sayang Pulau Pinang merangkumi 11 tema utama iaitu pentadbiran Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT); Perumahan untuk semua; Negeri Keusahawanan; Meningkatkan Kemudahan Asas; Negeri Hijau; Pembangunan Pendidikan dan Kemahiran; Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Sukan; Negeri Berkebajikan; Memartabatkan Islam serta Masyarakat Majmuk yang Harmoni.