Pengurus jenazah terima motosikal

Iklan
Norlizawati (depan dua dari kanan) dan Roslee (depan dua dari kiri) bergambar bersama Ahmad Fuzi (tengah belakang) dan William (belakang kiri)

BUKIT MERTAJAM - Sambutan Aidilfitri kali ini lebih bermakna buat seorang pengurus jenazah wanita apabila dia menerima sumbangan sebuah motosikal daripada syarikat KB Soon Huat Motor Sdn Bhd.

Norzilawati Jaya, 47 dari Machang Bubok, di sini mengakui terharu apabila dipilih untuk menerima sumbangan berkenaan malah menganggap ia umpama bulan jatuh ke riba baginya.

Iklan
Iklan

Ibu kepada enam orang anak itu berkata, motosikal yang digunakan selama ini sering meragam hingga menjejaskan pergerakannya dalam menjalankan aktiviti harian termasuk kerja-kerja sukarela yang dilakukan sejak lima tahun lalu.

"Saya seorang sukarelawan dan banyak keluar untuk membantu orang lain dengan menunggang motosikal.

Iklan

"Namun, sejak akhir-akhir ini motosikal saya selalu buat hal. Alhamdulillah, saya terpilih untuk menerima motosikal baharu dan pemberian ini saya anggap sebagai rezeki sempena hari raya," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Turut melahirkan syukur, guru agama sambilan Roslee Zainol, 48 yang turut menerima sumbangan sama oleh syarikat berkenaan.

Iklan

Roslee yang juga penjual ayam berkata, motosikal yang diguna ketika ini adalah motosikal yang sama untuk mengangkut ayam serta membawa anak-anak ke sekolah malah ia turut digunakan ketika dia mengadakan kelas mengaji al-Quran percuma di sekitar Machang Bubok.

"Semoga pemberian motosikal baharu ini akan memudahkan lebih banyak urusan saya sekeluarga selepas ini, insya-ALLAH," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan KB Soon Huat Motor Sdn Bhd, William Khoo berkata, program sumbangan itu antara khidmat sosial korporat (CSR) pihaknya kepada masyarakat setempat yang sebelum ini menyokong dan menjadi pelanggan syarikatnya.

"Boleh dikatakan semua pelanggan kami adalah Melayu (Islam). Jadi, kami ingat nak bagi balik sumbangan kepada mereka yang banyak sokong kami selama ini dan menganggap pemberian kami ini seperti 'zakat'," katanya.

William berkata, program pemberian hadiah motosikal itu sebenarnya telah bermula sejak tujuh tahun yang lalu, namun, ia terhenti kira-kira dua tahun lepas akibat penularan pandemik Covid-19 sebelum disambung semula tahun ini.

"Setiap tahun kita akan sediakan sebanyak dua buah motosikal dan dua buah basikal selain duit raya kepada semua asnaf yang berkenaan.

"Tahun ini ada 30 asnaf dan empat asnaf istimewa akan menerima hadiah ini (motosikal dan basikal) manakala yang lain akan menerima duit raya sebanyak RM100 dan barang keperluan yang bernilai kira-kira RM80," katanya.

Mengulas lanjut, William berkata, pemilihan asnaf yang layak untuk menerima sumbangan itu dibuat dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah SPT kerana mereka memiliki senarai asnaf berdaftar dalam daerah ini.

Semua sumbangan berkenaan disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dalam majlid yang diadakan di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.