Malaysia dijangka tarik pelaburan baharu RM14.62 bilion dari AS

Iklan
Mohamed Azmin

WASHINGTON DC - Malaysia dijangka menarik pelaburan baharu bernilai RM14.62 bilion dari Amerika Syarikat (AS) dengan Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) yang diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin berkata, banyak syarikat yang berpangkalan di AS menyatakan komitmen untuk mengembangkan operasi dan kehadiran mereka di Malaysia semasa TIM AS selama 10 hari yang bermula 8 Mei lepas.

Iklan
Iklan

"Kita akan membuat beberapa pengumuman besar dalam beberapa hari akan datang dari segi jumlah pelaburan baharu yang datang daripada komitmen syarikat-syarikat ini,” katanya kepada pemberita Bernama dan TV3 di sini, pada Selasa.

Setakat ini, beliau telah bertemu dengan beberapa syarikat teknologi tinggi seperti syarikat semikonduktor global, Texas Instruments Inc. dan pembekal bahan global untuk industri pemasangan elektronik dan pembungkusan semikonduktor, Indium Corporation.

Iklan

Selain itu, beliau juga dijadualkan untuk menghadiri pertemuan dengan lebih banyak peserta industri teknologi tinggi dalam rangka lawatan ke San Francisco, Seattle dan Los Angeles.

Beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneruskan misi perdagangan untuk menarik lebih banyak pelaburan, dan yakin pelaburan berkualiti tinggi akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk bakat Malaysia.

Iklan

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Duta Perwakilan Perdagangan AS, Katherine Tai telah menyambut baik cadangan Malaysia bagi menggerakkan semula Perjanjian Rangka Kerja Pelaburan (TIFA).

Kedua-dua negara diharap dapat memuktamadkan bagi pengaktifan perjanjian itu dalam tempoh terdekat, katanya.

Beliau berkata, Malaysia pada dasarnya terbuka untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu dengan AS, memandangkan perbincangan terakhir mengenai TIFA antara kedua-dua negara diadakan pada 2005, dan tiada perkembangan lanjut dicatatkan sejak itu walaupun kedua-dua negara cuba untuk meneliti dan menggerakkannya kembali pada 2017 namun tidak berjaya.

"Tetapi sudah tentu, kita perlu melihat bagaimana TIFA boleh membantu kita dan mengurangkan cabaran global yang kita hadapi sekarang, seperti (untuk memastikan) daya tahan rantaian bekalan,” katanya selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Tai pada Selasa.

Mengenai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang dicadangkan Presiden AS Joe Biden, yang dibangkitkan semasa mesyuarat dua hala berasingan dengan Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo pada Selasa, Mohamed Azmin berkata, Malaysia terbuka bagi perbincangan lanjut mengenai perkara itu.

"Sebagai sebuah ekonomi kecil seperti Malaysia, kita terbuka untuk lebih banyak perbincangan mengenai perkara itu, dan kita mahu memastikan semangat kepusatan ASEAN dihormati, dan memastikan semua negara anggota ASEAN membincangkan perkara itu secara menyeluruh,” katanya.

Memorandum Kerjasama (MoM) bagi memastikan daya tahan rantaian bekalan ditandatangani antara Mohamed Azmin dan Raimondo selepas mesyuarat dua hala itu.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga berkata, Katherine dan Raimondo telah bersetuju untuk meningkatkan perbincangan libat urus dan perundingan antara AS dan Malaysia bagi menangani isu berkaitan amalan perburuhan, tadbir urus selari dengan rangka alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dan piawaian antarabangsa yang pasti memberi kebaikan dan kelebihan kepada syarikat tempatan untuk bersaing di pasaran global.

Selepas mesyuarat dua hala itu, beliau dan Raimondo turut menjadi penganjur bersama sesi meja bulat dengan peserta industri semikonduktor terkemuka AS.

Kedua-dua pemimpin itu akan memastikan daya tahan rantaian bekalan walaupun berlaku peningkatan permintaan bagi semikonduktor dalam sektor automotif, aeroangkasa dan peranti perubatan.

"Syarikat-syarikat tersebut juga memberi jaminan kepada saya bahawa mereka akan terus bantu membangunkan ekosistem dengan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan vendor tempatan di Malaysia,” katanya. - Bernama