TANAH MERAH - Tindakan seorang peniaga menyimpan stok barangan kawalan dalam kuantiti banyak tanpa lesen di rumahnya di Kampung Bukit Merah Dalam di sini terbongkar apabila diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Kelantan pada Selasa.
Serbuan jam 10 pagi yang disertai Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor itu turut melibatkan rampasan minyak masak peket dan tepung gandum berjumlah RM3,120.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota telah membuat serbuan ke atas sebuah premis yang menyimpan barangan kawalan.
"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen yang sah sebagaimana diperuntukkan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut telah menemui minyak masak peket bersubsidi seberat 408 kilogram (kg) dan 840kg tepung gandum di bawah garaj dalam kawasan rumah berkenaan.
Aswadi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang terutamanya melibatkan penyelewengan barangan kawalan bersubsidi.
"Kami akan terus mempergiatkan lagi kerjasama dengan agensi kawalan sempadan dalam usaha membendung penyeludupan barangan bersubsidi negara.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait dengan penyeludupan barangan subsidi ini boleh menghubungi pihak kami dengan segera," katanya.