Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman, Datuk Maszely Minhad berkata, dipercayai ini merupakan kegiatan yang dilakukan oleh sindiket yang pernah ditangkap sebelum ini.
Menurutnya, beberapa ahli sindiketnya pernah ditahan pada tahun 2015 dan pernah dituduh.
"Mereka ini telah dituduh kerana menjalankan pusat perlindungan dan taman asuhan tanpa lesen serta pengambilan anak angkat yang tidak mengikut prosedur undang-undang.
"Malah suspek utama ini juga pernah dituduh mengikut Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 ( ATIPSOM)," katanya kepada Sinar Harian.
Sinar Harian melalui ruangan Sinar Siasat mendedahkan sindiket menjadikan rumah jagaan gadis terlanjur sebagai lubuk untuk mendapatkan bekalan bayi.
Selepas bersalin, gadis terlanjur perlu menyerahkan bayi mereka kepada pusat jagaan tersebut yang sudah mempunyai pembeli atau jika tidak perlu membayar lebih RM9, 500 sebagai kos penjagaan semasa mengandung dan bersalin.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan pihaknya pernah menerima laporan terhadap dalang utama berusia lingkungan 50-an ini.
Katanya, siasatan mendapati ibu kepada bayi berkenaan telah menyerahkan anak mereka ini untuk mencari keluarga angkat.
"Modus operandi sindiket ini adalah mencari gadis muda yang telah mengandung akibat terlanjur dan akan menjaganya dari segi makan minum, ubatan serta kos bersalin. Dalang ini berperanan akan mencari pasangan yang tidak mempunyai cahaya mata untuk menyerahkan bayi berkenaan dengan meminta bayaran tertentu," katanya.
Tambahnya, siasatan masih dijalankan dengan lebih mendalam mengikut Seksyen 12 ATIPSOM.
"Dalam kes ini, kita akan siasat dahulu termasuk merekod keterangan mangsa. Kita juga menasihatkan mangsa-mangsa ini untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata satu unit khas dikhususkan polis dalam menyiasat sindiket pemerdagangan bayi yang didedahkan Sinar Harian.
"Kes ini sedang giat kita tangani dan setakat ini saya dimaklumkan belum ada tangkapan dibuat.
"Walau bagaimanapun, polis akan memanggil pengusaha rumah yang menjaga ibu hamil berkenaan serta individu-individu lain yang mempunyai kaitan dalam kes ini bagi membantu siasatan ," katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Polis ke-212, semalam.
ARTIKEL BERKAITAN:Sinar Harian bongkar sindiket jual bayi
Rumah sindiket jual bayi sering berpindah
Lagi comel, lagi mahal!