Delegasi EU rai sambutan Hari Eropah di Pintasan Saloma

Iklan
Delegasi EU ke Malaysia meraikan sambutan Hari Eropah di Pintasan Saloma pada Isnin.

SHAH ALAM - Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia meraikan sambutan Hari Eropah di Pintasan Saloma pada Isnin sebagai lambang perpaduan dan memaparkan hubungan erat antara Malaysia dan EU.

Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas berkata, hubungan dua hala yang erat itu menjadikan Malaysia sebagai rakan dagang kedua terbesar EU di Asia Tenggara, manakala EU pula merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurut Michalis, sambutan Hari Eropah menerusi warna-warna yang dipaparkan di Pintasan Saloma itu turut menandakan permulaan ‘European Year of Youth’ bagi tahun 2022.

"Acara ini melambangkan kerjasama yang berterusan antara EU dan Malaysia, berasaskan nilai dan prinsip bersama seperti aturan antarabangsa berasaskan peraturan, multilateralisme yang efektif dan mampan serta perdagangan bebas dan saksama.

Iklan

"Oleh itu, Hari Eropah merupakan peluang yang baik untuk mempertimbangkan ruang kerjasama lain yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dan Eropah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Michalis berkata, tema ‘European Year of Youth’ itu bertujuan menangani isu yang paling banyak membawa kesan kepada golongan ini seperti kesamarataan, keterangkuman dan kemampanan.

Iklan

Menurutnya, ia juga merupakan usaha untuk memberi peluang yang lebih banyak dan lebih baik kepada golongan muda di masa hadapan.

"Menerusi ‘European Year of Youth’, kami ingin mewujudkan laluan dan peluang baharu untuk golongan muda.

"Sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk menekankan kepentingan hubungan antara EU dan Malaysia dalam bekerjasama dengan golongan muda untuk menggalakkan penyertaan mereka dalam kehidupan demokrasi, menggalakkan pemikiran kritis dan pengambilan inisiatif, memperkasakan penyertaan wanita dan remaja perempuan dalam penglibatan sivik serta bersama berganding bahu mengatasi perubahan iklim dengan penyelesaian yang mampan,” katanya.

Sambutan ini melambangkan keamanan dan perpaduan di Eropah sejak 1950, di samping menunjukkan EU sebagai rakan erat Malaysia yang dipercayai dalam pelbagai aspek seperti kemampanan, alam sekitar, keselamatan dan pendidikan.

Selain itu, bendera Ukraine juga turut menghiasi Pintasan Saloma sebagai simbol solidariti EU dengan rakyat negara itu dalam menghadapi serangan Rusia.

Hadir sama, Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo.