KEMENANGAN 2-1 ke atas Aston Villa pada Selasa nyata melegakan pengendali Liverpool Jurgen Klopp yang bimbang skuad kendaliannya bakal keciciran mata dan akhirnya terpaksa mengalah dalam ‘perebutan’ takhta EPL kali ini.
Bagaimanapun menurut Klopp, setelah berjaya menewaskan Villa, dia mula yakin The Reds mampu untuk terus mencabar takhta EPL pada baki dua perlawanan selepas ini.
Malah katanya, pemain-pemain The Reds dilihat semakin bersemangat untuk terus mencabar takhta EPL bagi menambah koleksi piala yang dimenangi musim ini.
"Berdasarkan aksi yang dipersembahkan pemain, kami yakin mampu merealisasikan misi untuk memenangi dua baki perlawanan terakhir di EPL musim ini.
"Namun rasanya ia tidak akan menjadi semudah yang disangka dan kami tidak akan mendapat laluan mudah daripada pihak lawan.
"Apa pun, tidak ada apa yang mustahil dan segalanya boleh berlaku dalam bola sepak. Oleh itu, kami akan terus mencuba,” katanya.
Pada aksi berdepan Villa, Liverpool lebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan oleh Douglas Luiz seawal minit ketiga; namun Joel Matip kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan pada minit keenam sebelum Sadio Mane menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan pada minit ke-65.
Kemenangan itu menyaksikan The Reds kian menghimpit pendahulu Manchester City apabila masing-masing meraih 86 mata dengan City dilihat memiliki kelebihan satu perlawanan.
Mengulas mengenai kemenangan ke atas Aston Villa, Klopp berkata, kemenangan itu tidaklah semudah yang disangka kerana skuad kendalian bekas lagenda Liverpool, Steven Gerrard itu menyajikan aksi berkualiti di sepanjang perlawanan.
Menurut Klopp situasi berkenaan turut menambahkan tekanan kepada The Reds hingga gagal menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan berkenaan.
"Perlawanan ini tidak semudah yang disangka. Mereka (Villa), mempamerkan aksi berkualiti dan berjaya mendahului kami; namun pemain berjaya menyerap tekanan dan seterusnya menghasilkan kemenangan ini,” katanya.