Tak timbul isu Anwar perlu ditukar: Rafizi

Iklan
Rafizi Ramli

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tidak timbul isu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar ditukar atau parti itu memerlukan kepimpinan baharu, kata calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli.

Rafizi juga memberi contoh mengenai permasalahan parti seperti pengurusan bola sepak.

Iklan
Iklan

"Yang menjadi masalah kalau kita ada seorang pengurus pasukan bola sepak yang baik tetapi pertahanan, penyerang, atau tengah tidak baik, letaklah pengurus baik yang mana tidak akan menang.

"Jadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh yang banyak mewarnakan politik negara kita pada umur beliau sekarang memerlukan barisan pimpinan yang betul-betul membuat kerja dan faham serta boleh memberikan input dan nasihat yang betul.

Iklan

"(Ini) supaya keputusan bersama yang dibuat itu tidak dipengaruhi,” katanya pada program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Program itu turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.

Iklan

Dalam debat yang disiarkan selama satu jam 30 minit itu, Rafizi turut menjelaskan mengenai tugas dan peranan Timbalan Presiden PKR.

"Tugas dan peranan timbalan presiden bukanlah melaksanakan semata-mata apa yang dinyatakan oleh presiden.

"Kalau presiden kena fikir, turun dan semua kena kempen tetapi timbalan yang ada di belakang hanya menyatakan kesetiaan, itu yang berlaku sekarang," ujarnya.

Jelasnya, Presiden PKR memerlukan timbalan yang lebih tangkas, pantas, kreatif dan agresif berkempen.

"Tambah lagi dalam keadaan sebahagian besar pengundi kita adalah pengundi muda.

"Perbezaan kematangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ketangkasan seorang pemimpin yang lebih muda dan dekat dengan pengundi muda itu dapat memberi keyakinan kepada rakyat bahawa gagasan dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) dan PKR bukan sahaja mencerminkan pengalaman, kematangan, jiwa rakyat tetapi juga membawa dan menggarap idea kreativiti zaman ini," katanya.