SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan dirinya akan terus kekal berjuang di dalam parti meskipun ditakdirkan kalah dalam perebutan jawatan nombor dua PKR itu nanti.
Katanya, ini kerana semua pihak perlu menerima hakikat asas dalam amalan demokrasi.
"Sebab itu buat saya, apabila saya menawarkan diri, saya terima hakikat, jika anggota parti memilih saya (akan) tunaikan tanggungjawab. Jika anggota parti menolak dan tempat itu adalah tempat saudara Rafizi, saya akan terus kekal dalam bahtera perjuangan PKR.
"Saya akan kekal Istiqamah sehinggalah cita-cita (PH) untuk menguasai negara dan menepatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tercapai, InsyaALLAH,” katanya dalam program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?yang turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.
Mengulas mengenai ciri-ciri yang perlu ada bagi seorang timbalan presiden parti, Saifuddin menegaskan, individu yang memegang jawatan nombor dua parti perlu memiliki sifat kerja berpasukan.
Menurutnya, selain itu individu tersebut juga perlu sedia bekerjasama dengan semua pemimpin dan anggota parti, bukannya ingin membina empayar politiknya yang sendiri.
"Saya selama 23 tahun (dalam PKR) saya percaya bahawa pertama kena ada kesetiaan terhadap idealisme perjuangan, bukan tubuh atau sosok seorang pemimpin.
"Kesetiaan ini mesti masa senang, masa susah, masa menang, masa kalah, saat gembira dan saat sukar. Kesetiaan ini suatu yang mahal dalam perjuangan keadilan,” katanya.