SEREMBAN - Polis mengesahkan dua beradik yang dilaporkan keluar asrama secara sembunyi di sebuah sekolah di Senawang di sini telah selamat sampai di rumah keluarga mereka di Kedah.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ibu pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun itu memberitahu bahawa kedua-dua anaknya tiba di rumah pada jam 11.30 malam Selasa.
"Ibunya telah membuat laporan di Balai Polis Sarang Semut, Kedah (berkaitan dua kanak-kanak terlibat). Mereka balik menaiki teksi sehingga ke Ipoh, Perak.
"Mereka kemudiannya naik bas sehingga ke Guar Chempedak, Kedah dan sampai di rumah pada jam 11.30 malam," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan abangnya yang berusia 16 tahun belajar di sekolah tersebut sejak dua tahun lalu manakala adiknya berusia 15 tahun baru sahaja mengikuti pembelajaran di sekolah sama tahun ini.
Sinar Harian melaporkan, polis sedang mengesan dua beradik yang dilaporkan keluar dari asrama tidak pulang selepas keluar dari asrama secara sembunyi di sebuah sekolah di Senawang di sini, awal pagi Selasa.
Kehilangan pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun itu dilaporkan gurunya setelah menyedari mereka tidak hadir semasa solat subuh kira-kira jam 6 pagi.
Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mereka telah memanjat keluar pagar hadapan sekolah terbabit pada jam 3.32 pagi.