UKM terima RM1 juta dana Yayasan Undang Luak Johol

Iklan
Muhammed (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Mohd Ekhwan (kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Undang Johol, Md Ghazali Md Yasin (kanan) ketika Majlis MoU dan MoA antara UKM dengan Undang Luak Johol pada Rabu.

KUALA PILAH - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Institut Islam Hadhari (Hadhari) menerima Dana Endowmen Undang Luak Johol daripada Yayasan Undang Luak Johol sebanyak RM1 juta.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, ia bagi memperkasakan pendidikan anak-anak dan membangunkan tanah adat terbiar di Johol.

Iklan
Iklan

"Dana berkenaan akan digunakan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemberian biasiswa kepada anak-anak Johol yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PHD).

"Insya-ALLAH kami yakin dapat melaksanakan tanggungjawab diamanahkan ini dalam membangunkan tanah adat terbiar dan ia akan membabitkan kerjasama dengan syarikat atau pemegang taruh yang berminat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dalam mengukuhkan jaringan kerjasama dalam bentuk akademik, komuniti dan industri antara UKM dengan Undang Luak Johol di Balai Undang Luak Johol disini, pada Rabu.

Majlis berkenaan disaksikan Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah.

Iklan

Mohd Ekhwan berkata, Dana Endowmen sebanyak RM1 juta itu sebagai permulaan dalam menjayakan usaha berkenaan.

"Fokus utama kami adalah membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Johol menerusi usaha menarik lebih ramai pelabur pasca pandemik Covid-19 daripada pelabur luar yang berminat membangunkan kawasan tanah adat terbiar berkenaan.

"Kami akan menggunakan kepakaran sedia ada membantu pemilik tanah adat terbiar ini untuk kita bangunkan dengan projek ekonomi tanpa memusnahkan ekosistem kawasan tanah berkenaan," katanya.

Sementara itu, Muhammed dalam ucapannya berkata, kolaborasi dengan UKM itu bertujuan untuk membantu membangunkan sosio-ekonomi golongan sasar di desa secara lestari berasaskan ilmu.

"Kerjasama daripada pihak universiti adalah penting bagi membantu mentransformasikan beratus hektar tanah adat yang terbiar berasaskan ilmu dan kepakaran khususnya dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan di Johol dan wilayah lain di Negeri Sembilan.

"Inisiatif itu dapat membantu memberi pulangan ekonomi dan menambah pendapatan keluarga, khususnya golongan sasar B40 supaya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan di samping membuka peluang pekerjaan kepada penduduk desa," katanya.