MELAKA - Zoo Melaka memperkenalkan tiga produk baharu bagi menarik lebih ramai pengunjung ke lokasi pelancongan itu dengan kos dianggarkan kira-kira RM5 juta.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, produk baharu itu termasuk Aviari Burung, 'kanggaru mini' dan sebuah Kafe Wildlife yang terletak tidak jauh dari pintu masuk.
Menurutnya, usaha berkenaan hasil kerjasama pihaknya dengan syarikat swasta bagi memastikan Zoo Melaka terus menjadi tarikan utama pelancong dalam dan luar negara ketika memilih negeri itu sebagai destinasi percutian mereka.
"Bagi lokasi baharu ini, pengunjung hanya dikenakan bayaran serendah RM5 untuk menerokainya selain dapat memberi makan kepada burung-burung yang jinak.
"Ini kerana di Aviari Burung menempatkan kira-kira 70 ekor burung kakak tua daripada spesis Sun Conure dan Red Lorry serta satu spesis lagi iaitu Cenderawasih," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, di kawasan kanggaru mini, pengunjung berpeluang melihat gelagat lapan ekor Walabi dan selepas itu boleh menikmati hidangan yang terdapat di kafe tersebut.
Jelas beliau, dalam tempoh sembilan hari selepas Hari Raya Aidilfitri pihaknya mencatatkan kehadiran hampir 30,000 pengunjung ke Zoo Melaka.
Menurutnya, angka itu menunjukkan kedatangan yang memberangsangkan dan dijangka akan terus meningkat.
Katanya, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini juga Zoo Melaka telah merekodkan seramai 300,000 pengunjung.
"Setakat ini dianggarkan hampir 70 peratus pengunjung yang datang adalah dari luar Melaka.
"Dengan produk baharu ini kita yakin dapat menarik lebih ramai pengunjung yang akan datang ke sini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Shadan berkata, harga tiket masuk Zoo Melaka yang ditetapkan masih relevan kerana terdapat lebih 700 haiwan daripada 200 spesis yang boleh dilihat selain pengunjung berpeluang melakukan pelbagai aktiviti menarik.