SEREMBAN - Ibu bapa seorang lelaki sindrom down, Mohd Fareez Dorajak, 34, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sehari sebelum Aidilfitri pada 1 Mei lepas, berharap anaknya dapat kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat seperti sebelum ini.
Bapanya Dorajak Kazamad, 63, berkata, semasa kejadian, dia dan isteri sedang sibuk mengemas rumah untuk menyambut Aidilfitri menyebabkan mereka tidak menyedari Mohd Fareez keluar secara sembunyi.
"Selepas solat Subuh, kami sibuk berkemas dan tidak sedar anak saya sudah curi-curi keluar melalui pintu belakang kira-kira pukul 6.30 pagi. Saya fikirkan dia keluar untuk membeli air dan roti di kedai berhampiran.
"Ini kerana, menjadi kebiasaan Mohd Fareez curi-curi keluar pada waktu pagi untuk membeli air, kemudian balik ke rumah semula. Namun, kali ini dia tidak pulang ke rumah dan kami sekeluarga sangat risau keadaannya," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Desa Dahlia, Senawang di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Dorajak berkata, kejadian itu bukan kali pertama kerana sebelum ini Mohd Fareez pernah hilang tetapi berjaya ditemukan orang awam dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) beberapa hari kemudian.
"Dua tahun lepas, dia pernah hilang dan dijumpai oleh JKM di Perak selepas empat hari. Tahun ini sekali lagi dia hilang dan tidak balik ke rumah lebih 10 hari, yang sangat membimbangkan kami dan diharapkan anak saya itu ditemui dalam keadaan baik serta selamat," katanya.
Dorajak berkata, dia bersama isteri, Fadilah Mohamad Laji, 62, telah membuat laporan di Balai Polis Senawang pada hari pertama Aidilfitri iaitu pada 2 Mei lepas selain mencari Mohd Fareez di sekitar Senawang dan Seremban terutama di terminal bas, kawasan kedai dan klinik namun gagal menemukannya.
Bapa kepada enam anak itu berkata, Mohd Fareez seorang anak yang sangat baik dan tidak bermusuh dengan sesiapa.
"Dia anak istimewa dan memang mudah merajuk, jadi memang kena selalu pujuk dia. Kami harap Mohd Fareez pulang dalam keadaan selamat dan kami sentiasa mendoakan agar dia dilindungi walau di mana jua dia berada," katanya.
Sehubungan itu, Dorajak meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya yang kali terakhir dilihat memakai kemeja-T merah dan berseluar 'track' hitam untuk menghubungi pihaknya di talian 017-2678673 atau untuk menghubungi balai polis berdekatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan lelaki orang kurang upaya (OKU) itu dan meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenainya, menyalurkan ke balai polis berhampiran.
"Kes diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH) dan pihak polis sedang giat mengesan mangsa," katanya. - Bernama