Warga Kemboja diperintah bela diri, pertuduhan bunuh budak, 2 wanita

Iklan

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Rabu memerintahkan seorang lelaki warga Kemboja membela diri atas tuduhan membunuh dua wanita dan seorang kanak-kanak juga warga Kemboja, di ladang kelapa sawit di Selangor pada 2015.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Usuf Matli, seorang penjaja, atas pertuduhan membunuh.

Iklan
Iklan

Dalam keputusan sebulat suara, Vazeer Alam berkata, hakim Mahkamah Tinggi tersilap apabila melepaskan dan membebaskan Usuf atas tuduhan membunuh Salamah Yusof, Fatimas Aly dan anak Fatimas, Asnawi Ahmad.

Umur mereka tidak dapat ditentukan kerana mereka pemegang pasport Kemboja.

Iklan

Hakim itu berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Usuf, 37, selepas mempertimbangkan keterangan seorang kanak-kanak, bersama-sama saksi lain, kelakuan Usuf dan keterangan mengikut keadaan lain.

Beliau berkata, bukti menunjukkan Usuf adalah orang terakhir yang dilihat bersama mangsa dan dia (Usuf) telah membawa polis ke tempat mayat mangsa ditemui.

Iklan

Beliau berkata, rayuan pihak pendakwaan mempunyai merit.

Mahkamah memerintahkan Usuf membela diri di hadapan hakim perbicaraan yang sama dan menetapkan 18 Mei untuk pengurusan kes.

Sementara itu, mahkamah turut menangguhkan rayuan Usuf terhadap sabitan dan hukuman mati atas kesalahan membunuh seorang lagi kanak-kanak, Rahimi Yusuf di tempat dan masa serta tarikh yang sama.

Usuf didakwa membunuh keempat-empat individu itu di ladang kelapa sawit Felcra di Batu 7, Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor pada 3 pagi, 6 Sept 2015 dan 7.25 malam pada 7 September 2015.

Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron merayu terhadap pembebasan Usuf pada akhir kes pendakwaan atas pembunuhan wanita dan kanak-kanak itu manakala Usuf merayu terhadap sabitan dan hukuman mati atas kesalahan membunuh Rahimi.

Usuf diwakili peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad, Najiah Zaimah Aris dan Nabil Ashraff Ridzuan. - Bernama