ATLET Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendapat suntikan semangat dalam misi menggalas cabaran negara di Sukan SEA Hanoi 2021 yang bermula dari 12 hingga 23 Mei depan, apabila menerima wang poket berjumlah RM3,200.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, wang poket tersebut boleh disifatkan sebagai dos penggalak daripada universiti dalam membarakan semangat atlet menjulang nama negara di temasya terbesar sukan Asia Tenggara tersebut.
Jelasnya, kecemerlangan para atlet UiTM yang mewakili negara di Vietnam adalah hasil impak program Matlamat 3: Sustainable Development Goals (SDG) yang merupakan usaha universiti mempromosikan gaya hidup sihat dan sejahtera melalui pencapaian atlet UiTM kepada warga kampus.
"Sejujurnya saya dan warga UiTM amat berbangga dengan pencapaian dipamerkan dalam kalangan atlet universiti ini yang memberikan sepenuh komitmen dalam misi menjulang nama negara.
"Dan kami warga universiti sentiasa peka dengan kebajikan dalam kalangan atlet UiTM bagi memastikan mereka beraksi pada tahap terbaik apabila diberikan penghormatan menggalas cabaran negara.
"Bagi memberi sokongan moral, pihak pengurusan UiTM menyumbangkan wang saku berjumlah RM3,200 kepada atlet-atlet UiTM sebelum mereka berlepas mengharungi cabaran di Hanoi 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Untuk rekod, seramai 17 atlet UiTM dipilih menggalas cabaran negara di temasya dwitahunan berkenaan melibatkan sembilan jenis acara - Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali, Syed Afiq Fakhri Syed Ali, Nurul Hazirah Izzati Hussin, Athirah Sareh, Syed Akmal Fikri Syed Ali (petanque),
Zuhri Muhammad Zin (sepak takraw), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili (bola sepak), Puteri Rifqah Fahada Azhar, Puteri Munajjah Az-Zahraa Azhar (catur), Nur Syafiqah Zainal Abidin (futsal), Ahmad Azfaruddin Lukman, Aimi Ayuni Azwan, Aisyah Farhanah Azwan, Khairul Naim Zainal (kayak),
Mohamad Syafiq Md Ariffin (memanah), Muhammad Ezuan Nasir Khan (menembak) dan Nevern Netaneel Marcellinus (tenpin boling), selain tiga kakitangan universiti yang terlibat sebagai pemain dan jurulatih pasukan.