Paras empangan di Pahang masih baik

Iklan
Norol Azali (dua kiri) meninjau keadaan Empangan Chereh ketika lawatannya di empangan tersebut di sini.

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang mengesahkan empat empangan yang membekalkan air di negeri ini masih berada pada paras yang baik.

Exco Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, empangan tersebut ialah Empangan Chereh (Kuantan), Empangan Klau (Raub) dan dua empangan di Rompin iaitu Empangan Anak Endau dan Empangan Pontian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seperti di daerah ini, muka sauk Kobat dan dua loji rawatan air iaitu Bukit Kenau dan Panching masih lagi menggunakan aliran semula jadi Sungai Kuantan sebagai sumber bekalan air tanpa bergantung sumber air daripada empangan Chereh.

"Tiga loji utama di daerah ini masih lagi menggunakan air semula jadi Sungai Kuantan sebagai sumber bekalan air dan kerana itu kita tidak melepaskan air melalui empangan Chereh dan pemantauan dari semasa ke semasa dilakukan oleh agensi kerajaan yang terlibat bagi mengetahui kedudukan terkini paras sungai.

Iklan

"Jika terdapat keperluan untuk kita melepaskan air dari empangan, perbincangan akan diadakan dengan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) bagi kita melihat paras air sungai terlebih dahulu untuk memastikan aras air itu cukup atau tidak untuk kita lepaskan dan akan memaklumkan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bagi melepaskan air empangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan di Empangan Chereh di sini, semalam yang turut dihadiri oleh agensi kerajaan yang terlibat.

Iklan

Dalam pada itu, Norol Azali berkata, paras air di Empangan Chereh mengalami penurunan paras air bukan disebabkan keadaan cuaca yang panas namun disebabkan ban empangan Kobat mengalami kerosakan yang teruk.

Menurutnya, paras terkini Empangan Chereh ialah 63 meter dengan jumlah air sebanyak 125 juta meter padu yang turun sebanyak 50 peratus, berbanding tahap maksimum 75 meter dengan 250 juta meter padu air.

"Sejak ia dibuat pada tahun 2008 sehingga 2018, paras air kita tidak pernah menunjukkan penurunan kurang 69 meter tetapi paras terkini disebabkan kita telah melepaskan air pada Februari hingga September tahun lepas bagi membantu menaikkan paras air Sungai Kuantan ekoran kejadian ban pasir pecah di muka sauk Kobat.

"Walaupun kita belum dapat menakung air sehingga ke peringkat takungan maksimum namun paras terkini empangan boleh bertahan sehingga tamat musim kemarau yang dijangka pada Mei depan. Kita juga berharap agar hujan akan turun supaya kita dapat meningkatkan paras air empangan," katanya.

Mengulas jika kerajaan negeri akan melaksanakan proses pembenihan awan, beliau berkata, masih tiada keputusan setakat ini untuk melakukan proses tersebut namun Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi arahan untuk mempertimbangkan keperluan itu sekiranya ada.