YUJ serah dana endowmen RM1 juta kepada UKM bangun tanah adat

Iklan
Muhammed (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Undang Johol Md Ghazali Md Yasin (kanan) dengan Mohd Ekhwan (kiri) sempena Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Undang Luak Johol di Balai Undang Luak Johol, pada Selasa. Foto Bernama

JOHOL - Yayasan Undang Johol (YUJ) pada Rabu menyerahkan dana endowmen bernilai RM1 juta kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangunkan semula tanah adat yang terbiar dan memperkasakan pendidikan anak-anak di daerah itu.

Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah berkata, kerjasama universiti adalah penting bagi membantu mentransformasikan beribu ekar tanah adat yang terbiar melalui kepakaran khususnya dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan di Johol dan daerah lain di Negeri Sembilan.

Iklan
Iklan

"Inisiatif itu dapat membantu memberi pulangan ekonomi dan menambah pendapatan keluarga terutama kepada golongan sasar B40 supaya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan di samping membuka peluang pekerjaan kepada penduduk desa,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan dana itu di sini.

Sebelum itu, beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dan Memorandum Perjanjian (MOA) antara UKM yang diwakili Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dengan Undang Luak Johol yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Md Ghazali Md Yasin.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Ekhwan berkata, dana tersebut sebagai inisiatif bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat Johol serta membangunkan sosioekonomi golongan sasar secara lestari berasaskan ilmu.

"Ia juga sekali gus dapat menarik lebih ramai pelabur bagi membangunkan kawasan tanah adat yang terbiar terbabit,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, dana itu juga dapat memperkasakan pendidikan melalui penganugerahan biasiswa kepada anak-anak Johol yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau yang ingin membuat penyelidikan dalam bidang institusi Luak Johol dan Adat Pepatih Negeri Sembilan. - Bernama