TELUK INTAN - Polis menyerbu sebuah rumah kedai yang dipercayai mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan melombong bitcoin di Jalan Intan 3, Bandar Baru di sini pada Rabu.
Operasi kira-kira jam 1.30 pagi itu membabitkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dengan kerjasama pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, serbuan itu dilakukan setelah menerima laporan orang awam yang mengesyaki ada kegiatan mencuri bekalan elektrik.
"Laporan diterima daripada orang awam yang mengadu rumah mereka berhampiran premis tersebut sering mengalami gangguan elektrik.
"Mereka mengesyaki ada kegiatan mencuri bekalan elektrik yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai menjalankan aktiviti melombong bitcoin di premis tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 72 unit mesin bitcoin jenama Antminer S9i bersama kabel internet dan kabel bekalan kuasa bernilai RM140,000
"Juruteknik khas TNB telah menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas penyambungan wayar yang dilakukan secara haram dan mengesahkan bahawa terdapat kecurian arus elektrik.
"Kerja-kerja pemotongan elektrik di premis tersebut dijalankan dan kesemua peralatan dan kelengkapan berkaitan bagi tujuan melombong bitcoin dirampas," katanya.
Ahmad Adnan berkata, siasatan awal mendapati premis terbabit disyaki telah aktif menjalankan aktiviti melombong bitcoin sejak 2 bulan lalu.
"Semasa serbuan dilakukan dapati tiada sesiapa yang berada di tempat kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3)(e) Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.