KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kenyataan beliau bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memintanya untuk campur tangan dalam kes jenayah bekas Timbalan Perdana Menteri itu di mahkamah adalah benar dan bukan memfitnah.
Muhyiddin, 74, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 9 Mei, mendakwa kenyataan yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Mersing di pekarangan Pusat Pembelajaran Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 pada 16 Februari lepas sebahagian besarnya dijustifikasikan sebagai benar dan merupakan komen adil serta berkepentingan awam.
Menurut Muhyiddin, beliau juga tidak mempunyai kawalan dan tidak bertanggungjawab atas penerbitan kenyataan itu yang dibuat oleh Astro Awani di akaun YouTube serta KiniTV, Malaysiakini, Utusan Malaysia atau mana-mana portal berita dalam talian lain.
"Saya menyatakan bahawa tiada sebarang niat jahat daripada pihak saya dalam menerbitkan pernyataan tersebut. Secara khususnya saya menafikan bahawa penerbitan tersebut telah dibuat bertujuan untuk merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum," katanya.
Menerusi saman yang difailkan pada 4 April lepas, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon perintah injunksi secara ex-parte supaya Muhyiddin selaku defendan, atau wakilnya, menarik balik kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadap beliau.
Ahmad Zahid, 69, juga memohon perintah injunksi sementara bagi menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluar, menerbit, mengedar atau menyebarkan kenyataan fitnah itu atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana wadah media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.
Turut diminta perintah injunksi sementara bagi mengarahkan defendan agar memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang didakwa mengandungi fitnah di portal berita dalam talian serta media sosial antaranya di Facebook profil 'Perikatan Nasional,' YouTube Astro Awani dan KiniTV.
Selain itu, plaintif memohon perintah injunksi sementara mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadam dan menghentikan penerbitan fitnah berkenaan.
Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesai dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes terbabit, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.
Beliau berkata, kenyataan fitnah itu adalah palsu serta bertujuan menjatuhkan reputasi dan nama baiknya. Ahmad Zahid juga mendakwa kenyataan fitnah itu dikeluarkan oleh defendan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya berkaitan PRN Johor.
Sementara itu, peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili Ahmad Zahid, ketika dihubungi berkata, pengurusan kes saman tersebut ditetapkan pada 25 Mei ini. - Bernama