SHAH ALAM - Pas memberi jaminan bahawa parti itu akan meneruskan agenda penyatuan ummah meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak secara keseluruhan agenda tersebut.
Ketua Penerangan Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, parti tersebut berpendirian bahawa dalam usaha membangunkan Malaysia yang adil dan makmur, ia perlu dipimpin oleh pemimpin Melayu Islam selaku kelompok majoriti di negara ini.
Katanya, jurang perpaduan nasional, kesenjangan ekonomi yang ketara antara masyarakat luar bandar dan bandar, serta lanskap politik negara yang bercelaru merupakan masalah daripada lemahnya kuasa politik umat Islam.
"Semua parti-parti Islam dan Melayu diseru untuk duduk semeja dan memikirkan nasib generasi umat Islam di negara ini agar lebih terpelihara serta dibela dari sudut pendidikan, ekonomi, sosial dan politik.
"Ia perlulah berteraskan kepada peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kata beliau, Pas bertegas tidak akan bersama dengan mereka yang dibuktikan bersalah melakukan tindakan pecah amanah, salah guna kuasa dan mengamalkan rasuah dalam kepimpinan mereka.
"Agenda penyatuan ummah yang dibawa ini adalah berteraskan kepada prinsip Islam iaitu memimpin, keadilan untuk semua termasuk kepada musuh dan ummah sebagai Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum serta agama yang tidak ekstrim melawan Islam.
"Pas berterima kasih kepada semua pemimpin politik negara yang berjiwa besar serta terus komited dalam agenda penyatuan ummah yang diakui keberkesanannya seperti yang kita lihat di Kedah,Perak,Selangor dan Pahang,” katanya.
Menurut beliau, semangat kebersamaan itu dilihat kukuh diperingkat akar umbi meskipun pada masa sama ada segelintir pemimpin yang makin hilang kepercayaan dan telah putus harapan kepada usaha murni itu.
"Untuk pemimpin UMNO yang masih yakin bahawa Pas dan UMNO adalah tawaran terbaik buat rakyat Malaysia, kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan untuk teruskan agenda ini.
"Agenda ini adalah agenda kita bersama untuk kesejahteraan dan kegemilangan Keluarga Malaysia,” katanya.