PRESTASI dipamerkan pemain negara boleh disifatkan memberangsangkan biarpun gagal mara ke peringkat suku akhir Piala Uber 2022 di Bangkok, Thailand kali ini.
Malah menurut Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, beberapa pemain terutamanya pemain muda seperti Myisha Mohd Khairul dan Tan Zhing Yii mempamerkan perkembangan positif.
Jelas Choong Hann, kedua-dua pemain itu turut mencuri tumpuan ramai apabila beraksi dengan baik ketika berdepan pemain yang jauh lebih senior dan berada pada ranking yang lebih tinggi.
"Kedua-dua pemain ini, (Myisha dan Zhing Yii), memang mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan badminton.
"Walaupun baru sahaja dinaikkan pangkat daripada pasukan junior ke pasukan senior, namun kedua-dua mereka ini nyata berjaya mempamerkan corak teknikal yang mengagumkan.
"Kita akan terus melatih mereka dalam usaha menjadikan mereka sebagai pemain yang lebih baik selepas ini,” katanya pada Rabu
Cabaran skuad negara di Piala Uber berakhir setelah gagal melepasi saingan peringkat Kumpulan C apabila tewas 2-3 kepada Denmark pada Ahad, sebelum tewas 1-4 kepada Thailand pada Isnin.
Biarpun mencatatkan kemenangan 5-0 ketika berdepan Mesir, ia sudah tidak memberikan sebarang makna susulan dua kekalahan kepada Denmark dan Thailand.
Mengulas lanjut, Choong Hann berkata, Myisha dan Zhing Yii, sebenarnya sudah diberikan pendedahan sebelum ini dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
Justeru katanya, prestasi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemain muda berkenaan membuktikan kejayaan perancangan BAM mengetengahkan pemain-pemain muda.
"Secara kasarnya, Myisha dahulu bukan siapa-siapa..apa pencapaiannya di peringkat junior sebelum ini? Tetapi orang ramai melihat Myisha tiba-tiba menonjol sedangkan mereka tidak tahu kita sebenarnya telah memberi pendedahan kepadanya sebelum ini. Begitu juga dengan Zhing Yii.
"Kita juga berpuas hati prestasi S Kisona kali ini, tetapi mungkin dia rasa terbeban kerana memikul tanggungjawab sebagai pemain utama apabila Soniia (Cheah) umumkan bersara dan Goh Jin Wei yang mahu jadi pemain profesional hingga menyebabkan dia agak sukar berada pada prestasi terbaik.
"Bagaimanapun, dia tetap menjadi pilihan utama kerana kita yakin dia perlukan masa untuk kembali berada pada prestasi terbaiknya sebagaimana ketika beraksi di Sukan SEA Manila yang menyaksikannya memenangi pingat emas,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM Rexy Mainaky mengakui berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan gandingan Pearly Tan-M Thinaah di Bangkok kali ini.
Katanya, gandingan tersebut secara keseluruhannya berjaya menepati jangkaannya apabila melakarkan beberapa keputusan memberangsangkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
"Bagi saya Pearly-Thinaah telah berjaya mencapai tahap yang saya kehendaki pada Piala Uber kali ini.
"Bagaimanapun beregu kedua negara Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing masih perlu dibimbing terutamanya bagi memperkuatkan bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mental,” katanya.