KUALA KANGSAR - Lima individu rentung dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan treler di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora di sini, tengah malam Rabu.
Maklumat awal kejadian sekitar 12.52 malam itu memaklumkan, semua mangsa terperangkap selepas berlaku kebakaran melibatkan dua kenderaan terbabit.
Punca kejadian dan identiti semua mangsa masih belum diperoleh setakat ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ahmad Izuwan Zakaria ketika dihubungi berkata, setakat jam 4 pagi, kerja-kerja mengeluarkan mangsa masih dilakukan.
"Lima mangsa yang rentung merupakan pemandu dan penumpang kereta dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.
Menurutnya, kereta jenis yang belum dikenal pasti itu telah terbakar 90 peratus.
"Treler membawa muatan besi terbabit turut mengalami kebakaran 90 peratus, begitupun pemandu kenderaan berat itu dilaporkan selamat," katanya.
Operasi menyelamat turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Kamunting dan Ipoh.
Beberapa video kejadian itu dikongsi pengguna lebuh raya di media sosial menunjukkan keadaan api marak disusuli beberapa letupan.
Keadaan itu menyukarkan orang ramai bertindak awal membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad menerusi laman Twitter miliknya memaklumkan, kemalangan telah mengakibatkan semua lorong arah utara dan lorong kanan arah selatan terhalang.
Laluan kontra telah diaktifkan dan trafik perlahan 2.5 kilometer arah utara manakala arah selatan trafik perlahan 2.0 kilometer.